60.2kg ganja bernilai RM186,620 dirampas

12 Jul 2023 • 5:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhamad Zaki (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada ganja yang dirampas semasa serbuan di pekarangan parkir kereta sebuah pasar raya di Tunjong, Kota Bharu pada Isnin.

KOTA BHARU - Penahanan dua lelaki membawa kepada rampasan dadah jenis ganja seberat 60.2 kilogram (kg) dalam serbuan di pekarangan parkir kereta sebuah pasar raya di Tunjong, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, bertindak atas maklumat risikan pihaknya telah berjaya memberkas dua lelaki berusia 24 tahun pada jam 9.50 malam.

"Semasa serbuan dilakukan, kedua-dua suspek baharu keluar dari kereta jenis Honda Accord yang dinaiki mereka.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas kereta tersebut, polis telah menjumpai tiga bungkusan guni.

"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 60.2kg ganja dan pada masa sama polis turut menyita wang tunai berjumlah RM500," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK), di sini pada Rabu.

Muhamad Zaki memberitahu, nilai rampasan dadah itu dianggarkan berjumlah RM186,620.

Tambah beliau, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengetahui bagaimana bekalan dadah itu diperoleh.

"Kedua-dua mereka ini direman bermula semalam hingga 17 Julai bagi membantu siasatan. Kita tidak menolak kemungkinan dadah ini akan dihantar ke luar Kelantan.

"Jika terlepas ke pasaran, kita jangkakan lebih 60,000 penagih dapat menggunakannya," katanya.

Menurut Muhamad Zaki, semakan turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

View Original Article