
Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 20 DIS: Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menawarkan 60 naskhah terjemahan pelbagai genre sempena Pesta Buku Big Bad Wolf di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) mulai hari.
Pengurus Jualan dan Pemasarannya Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman berkata orang ramai juga berpeluang menikmati potongan 10 hingga 20 peratus bergantung kepada judul buku di pesta berkenaan hingga 2 Januari mulai 10 pagi hingga 2 pagi.
“Naskhah terjemahan seperti Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal oleh Martin Lings serta Gelagat dan Ragam Orang Melayu tulisan Frank Swettenham dijangka akan jadi pilihan pilihan pengunjung.
“Selain itu tiga buku Imam Al- Ghazali iaitu Penyelamat daripada Kesesatan, Ciri Pemisah Antara Islam dan Zindik serta Ilmu Kalam: Tegahan Buat Orang Awam dijangka menjadi judul terlaris,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya tiga naskhah terjemahan terbaharu IBDE iaitu Muhammad Ali: Raja Dunia, Wira Amerika; Strategi Rahsia China; dan Penyucian Kalbu Tanda Penyakit Hati tidak dijual pada pesta buku tersebut.
Beliau berkata penyertaan di pesta buku berkenaan bagi memberi peluang kepada orang ramai khususnya warga Lembah Klang yang tidak sempat menghadiri pesta buku sebelum ini untuk mendapatkan koleksi buku terjemahan IBDE.
IBDE menerima geran daripada Kerajaan Negeri untuk menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre termasuk sejarah, falsafah dan agama, malah sesetengah naskhah asal berusia ribuan tahun.

The post 60 judul buku terjemahan IBDE di Big Bad Wolf, potongan harga hingga 20 peratus appeared first on Selangorkini.
