60 pelajar SPE UPM tanam 50 pokok bakau di Kuala Langat
zulfadli
03/11/2023 - 10:31
KUALA LUMPUR 3 Nov - Seramai 60 pelajar dan pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) Universiti Putra Malaysia (UPM) menanam 50 anak pokok bakau di Taman Rekreasi Paya Bakau, Kampung Sijangkang, Kuala Langat, Selangor baru-baru ini.
Pensyarah Kanan SPE UPM, Dr Anusuiya Subramaniam berkata, projek itu sebagai langkah meningkatkan kesedaran komuniti untuk melindungi paya bakau serta mempromosikan tanggungjawab sosial di kalangan pelajar universiti.
“Selain daripada hasil jangka panjang dalam pemuliharaan alam sekitar, program ini juga dapat memberikan peluang kepada komuniti setempat mengukuhkan konsep eko pelancongan di kawasan ini.
“Semoga projek ini dapat dijadikan contoh kepada lebih ramai lagi masyarakat untuk terlibat dalam usaha pemuliharaan alam sekitar dan membantu mencapai matlamat kelestarian," katanya.
Projek bertemakan ‘Memperkasa Komuniti melalui Pemuliharaan Bakau Memacu Pendapatan Lestari’ mendapat kerjasama Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Bumi Alam dan Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Panglima Garang.


Selain itu, Dr Anusuiya yang juga ketua projek tersebut berharap agar program penanam kelestarian bakau ini dapat diteruskan pada setiap tahun bagi memelihara kepentingannya buat generasi akan datang. - DagangNews.com
