60 Peratus Daripada Penghasilan Tenaga Elektrik Sarawak Adalah Dari Sumber Mampan

LocalEnvironment
23 Oct 2025 • 5:20 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Salah satu fokus kerajaan negeri Sarawak dalam proses memodenkan infrastruktur tempatan ialah untuk meningkatkan penghasilan tenaga elektrik menggunakan sumber tenaga yang mampan. Dan sumber tenaga mampan terbesar di negeri tersebut hadir melalui penggunaan empangan air.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi hari ini telah mengumumkan bahawa pada tahun 2025, 60 peratus daripada janaan tenaga elektrik untuk negeri tersebut adalah hasil daripada janaan tenaga mampan, khususnya penggunaan empangan air.

Buat masa ini, empangan-empangan yang beroperasi termasuklah Empangan Hidroelektrik Bakun yang menjana 2520 megawatt, Empangan Hidroelektrik Murum yang menjana 944 megawatt dan Empangan Hidroelektrik Batang Ai yang menjana 108 megawatt kuasa elektrik.

image is not available

Empangan Hidroelektrik Baleh di Kapit yang akan dibuka dalam masa beberapa tahun lagi juga dijangka akan membekalkan 1285 megawatt tenaga elektrik tambahan yang boleh dimanfaatkan oleh bukan sahaja penduduk di Sarawak, tetapi pelbagai industri yang akan meningkatkan lagi tahap daya saing negara tersebut.

Untuk meningkatkan lagu penggunaan sumber tenaga mampan, kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan untuk menambahkan kapasiti ladang solar terapung mereka di Empangan Batang Ai dari menghasilkan 50 megawatt kuasa elektrik ke 160 megawatt. Pertimbangan yang sama juga dikatakan sedang dibuat untuk empangan-empangan Bakun dan Murum.

Menurut Dato Sri Haji Julaihi lagi, penambahan kapasiti bekalan tenaga elektrik dengan sumber tenaga mampan ini juga akan digunakan untuk menampung pembukaan pusat-pusat data di Sarawak di masa hadapan. Kerajaan Sarawak dilihat mahu memastikan bahawa sumber bekalan kuasa elektrik adalah stabil dan mencukupi terlebih dahulu sebelum mereka memperkenalkan sebarang pelan baru mengenai pusat data dan lain-lain di negeri itu.