


BATU PAHAT - Dianggarkan 600 mangsa banjir daripada 190 keluarga di Sri Gading ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading di sini pada pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, hujan lebat sejak jam 1.30 pagi selain fenomena air pasang besar yang berlaku jam 3 pagi menyebabkan beberapa kawasan rendah telah dinaiki air.
Katanya, kejadian banjir melibatkan empat kawasan di Sri Gading iaitu di Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Batu Sri Gading dan Pekan Seri Gading.
**media[1909852]**
PPS telah dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Gading, namun disebabkan ia dinaiki air, mangsa dipindahkan ke SMK Seri Gading.
"Anggaran jumlah mangsa terkini seramai 600 orang terdiri daripada 190 keluarga. Usaha membantu memindah mangsa sedang dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
**media[1909855]**
Menurut Ismail, 25 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi seperti polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) menyertai operasi menyelamat.
"Sehingga kini jalan-jalan utama yang menghubungi daerah Batu Pahat dengan lain-lain daerah masih lagi boleh dilalui oleh semua kenderaan," katanya.

