PENDANG - Kira-kira 600 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Mohamad Ariff menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga Khamis berikutan kerosakan dialami akibat bencana ribut Isnin lalu.
Pengarah Pendidikan Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, sekolah berkenaan antara 11 sekolah di Kedah terjejas teruk membabitkan tiga daerah iaitu Pendang, Kulim/Bandar Baharu dan Kota Setar.
"Murid Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3 serta prasekolah telah memulakan PdPR sejak Selasa membabitkan kira-kira 600 murid.
"Sebanyak 11 sekolah di Kedah dilaporkan terjejas akibat ribut yang melanda beberapa daerah di negeri ini pada Ahad lalu, dengan SK Haji Mohamad Ariff di Pendang dikenal pasti sebagai antara lokasi paling kritikal," katanya.
Menurutnya, fenomena angin kencang dan ribut tropika yang berlaku antara jam 4.30 petang hingga 6 petang Isnin itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kecederaan.
“Di Pendang, antara sekolah yang terlibat ialah SK Haji Mohamad Ariff, SK Paya Mengkuang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Puteh Dalam, SK Paya Mak Insun, Akademi Sains Pendang dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
“Bagi Kulim Bandar Baharu pula melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ganesar, SK Dato Hj Zainudin, SMK Sedang dan SMK Lubuk Buntar, manakala Kota Setar membabitkan SK Kangkong,” katanya.
Beliau berkata, antara kerosakan utama dilaporkan membabitkan bumbung bangunan, kabel elektrik dan kerosakan kecil lain.
“Pembersihan kawasan zon risiko telah dilaksanakan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), bomba serta pihak sekolah bagi memastikan kawasan selamat sebelum sesi persekolahan diteruskan.
“Penilaian teknikal serta anggaran kerugian turut dijalankan, selain permohonan peruntukan kecemasan dan bencana sedang diusahakan untuk kerja pembaikan segera,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA, Shahrizal Mohd Saderi berkata, seramai 582 pelajar MRSM Pendang menjalani PdPR akibat kerosakan dialami di beberapa bangunan akibat bencana terbabit.
Menurutnya, pelajar dibenarkan pulang bermula jam 2.30 petang Selasa bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan di asrama dan juga kawasan sekitar dilakukan.
"Kita akan berikan peruntukan khas kepada MRSM Pendang, iaitu peruntukan darurat untuk menyelesaikan kerja-kerja ini... kita juga, bersama dengan pihak MARA negeri, telah mengenal pasti kontraktor-kontraktor yang berkeupayaan untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan dengan segera," katanya.
Beliau berkata, permohonan peruntukan khas kerosakan dianggarkan mencecah RM1.5 juta.
"Kita sedang mendapatkan kelulusan untuk projek bajet darurat itu. Apabila bajet itu dapat kelulusan, kita akan mulakan," katanya.

