62 usahawan Kuala Langat terima bantuan peralatan niaga lebih RM400,000

LocalBusiness & Finance
10 Oct 2026 • 3:22 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

62 usahawan Kuala Langat terima bantuan peralatan niaga lebih RM400,000

KUALA LANGAT, 10 OKT: Seramai 62 usahawan di Kuala Langat menerima bantuan peralatan bernilai lebih RM400,000 menerusi Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dan Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-Seed) tahun ini.

Daripada jumlah itu, 44 penerima menerima bantuan Blueprint, manakala 18 lagi mendapat bantuan I-Seed yang dikhususkan kepada komuniti India.

EXCO Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata bantuan disalurkan mengikut keperluan penerima merangkumi pelbagai peralatan perniagaan seperti mesin jahit, mesin fogging, ketuhar, chiller dan peralatan lain.

Jelasnya, program tersebut antara usaha berterusan Kerajaan Negeri membantu golongan berpendapatan rendah, khususnya keluarga B40 yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta bagi program Blueprint dan RM1 juta untuk I-Seed di seluruh Selangor tahun ini. Kita berharap penerima menggunakan bantuan yang diberikan sebaik mungkin bagi mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Blueprint dan I-Seed bagi daerah Kuala Langat 2026 di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Manggis, Banting, baru-baru ini.

Papparaidu berkata proses pemilihan penerima dilaksanakan dengan kerjasama ketua kampung, penghulu dan pihak berkaitan bagi memastikan permohonan dinilai berdasarkan keperluan sebenar.

Katanya, penyediaan peralatan mengambil masa kerana setiap permohonan perlu melalui proses semakan, siasatan dan audit, selain terdapat barangan yang perlu ditempah atau diimport.

“Usaha ini merangkumi semua pihak supaya kita betul-betul menyentuh nadi kemiskinan dan membantu mereka membangunkan diri serta keluarga,” katanya.

Sementara itu, antara penerima bantuan Blueprint ialah Cheng Jum Ting, 37, yang menjalankan perniagaan air tebu bersama bapanya, Cheng Nge Lee, 72, di sekitar Tanjung Sepat.

Ibu tunggal itu menerima sebuah motosikal roda tiga yang diharap dapat memudahkan mereka bergerak menjual air tebu di pasar malam dan pasar pagi.

Menurut Cheng, sebelum ini mereka menggunakan kereta lama yang uzur dan sering rosak untuk menjalankan perniagaan.

“Saya gembira melihat ayah gembira apabila mendapat motosikal roda tiga ini. Sebelum ini, saya menjaja air tebu bersama ayah menggunakan kereta yang sudah uzur dan sering rosak.

“Dengan motosikal roda tiga ini, lebih mudah untuk kami bergerak berbanding sebelum ini,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved