630 warga asing ditahan di tapak pembinaan kilang bateri

13 Oct 2026 • 3:36 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 630 warga asing ditahan di tapak pembinaan kilang bateri

ALOR SETAR – Seramai 630 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan besar-besaran Jabatan Imigresen (JIM) di tapak pembinaan kilang bateri kereta di Padang Meha, Kulim semalam.

Mereka terdiri daripada 396 warga China, 199 Bangladesh, Pakistan (10), Myanmar (tujuh), India (lima), Ghana (empat), Nigeria (tiga), Kenya (dua), Indonesia (dua) serta masing-masing seorang warga New Zealand dan Senegal.

Kesemua mereka berusia antara 18 hingga 50 tahun ditahan selepas penguat kuasa JIM memeriksa 697 individu dalam Ops Mega yang bermula kira-kira pukul 11 pagi, semalam.

Antara yang mencuri perhatian ialah penahanan warga Nigeria, Kenya, Ghana, Senegal dan New Zealand yang jarang ditemui bekerja di tapak pembinaan, selain seorang warga China yang memiliki pasport rasmi dan statusnya masih disiasat.

Pengarah Imigresen Negeri Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, operasi itu membabitkan 159 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JIM, Pasukan Taktikal Khas (Pastak), serta JIM Kedah, Perlis, Perak, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan hasil maklumat dan risikan pihaknya.

“Ini merupakan jumlah tangkapan paling besar di satu lokasi dalam tempoh 10 tahun,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Utama Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Beliau berkata, antara kesalahan yang disiasat ialah tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan pas atau permit kerja.

Katanya, terdapat kes warga asing yang dipercayai memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial sebelum bekerja di tapak pembinaan, manakala kesalahan lain termasuk bekerja di lokasi berbeza atau dengan majikan yang tidak dibenarkan.

“Setiap pasport dan dokumen yang dirampas perlu diperiksa secara teliti termasuk bagi mengesahkan ketulenannya sebelum tindakan lanjut diambil,” ujarnya.

Menurutnya, enam saman saksi dikeluarkan bagi membantu siasatan, termasuk terhadap majikan atau wakil syarikat yang berada di lokasi ketika serbuan dijalankan.

Mengulas cabaran operasi, beliau berkata, sebahagian warga asing cuba melarikan diri dengan bersembunyi di kawasan berisiko termasuk menaiki bumbung bangunan belum siap, manakala tindakan provokasi sekumpulan individu turut mencetuskan ketegangan.

“Operasi di kawasan seluas hampir 500,000 meter persegi itu turut berdepan cabaran keselamatan apabila hujan menyebabkan laluan licin dan berlumpur, selain lubang lif, besi tetulang terdedah serta pergerakan jentera berat,” jelasnya.

Beliau berkata, tapak pembinaan kilang berkenaan pernah diserbu JIM tahun lalu dengan kira-kira 100 warga asing ditahan ketika pembinaan fasa pertama. – KOSMO! ONLINE

 

The post 630 warga asing ditahan di tapak pembinaan kilang bateri appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved