Satu kajian yang dijalankan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati 65.3 peratus kakitangan awam menyatakan sokongan dan memilih Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dikekalkan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Kajian yang dijalankan pada Mac 2025 itu mendapati 62.5 peratus daripada penjawat awam berpuas hati dengan usaha dan kerja kuat yang ditunjukkan oleh pimpinan Kerajaan Madani ketika ini.
Memetik laporan dari Sinar Harian, Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amidi Abdul Manan berkata, beliau percaya kepercayaan kepada kerajaan Madani akan terus meningkat dari semasa ke semasa.
“Saya percaya keyakinan dan kepercayaan itu akan meningkat dari semasa ke semasa. Memberi gambaran buruk adalah satu bentuk sabotaj kepada usaha pembaikan negara.
“Ia menjadi lebih keji apabila timbul dakwaan bahawa hanya kelompok atau individu tertentu sahaja yang mampu membaikinya. Pasukan YAB Perdana Menteri semakin membesar dengan penglibatan kakitangan awam untuk bekerja demi negara Malaysia yang tercinta,” katanya.
Menurut Amidi, kajian berkenaan juga membuktikan bahawa sokongan penjawat awam terhadap Kerajaan Perpaduan berada pada tahap yang baik dan tidak dipengaruhi oleh sebarang persaingan politik dalaman mana-mana organisasi.
“Kajian ini tidak terkait langsung dengan mana-mana persaingan merebut jawatan dalam organisasi tertentu.
“Ia jelas menunjukkan imej positif terhadap kerajaan hari ini yang dipimpin oleh Anwar. Saya percaya inilah gambaran sebenar mood kakitangan awam,” ujarnya.
Berpuas hati dengan penyelarasan gaji
Amidi turut memetik dapatan kajian yang menunjukkan 62.5 peratus kakitangan awam berpuas hati dengan penyelarasan gaji, sambil menyatakan bahawa walaupun beberapa Perdana Menteri sebelum ini menjanjikan kenaikan gaji, hanya Perdana Menteri ke-10 yang berjaya merealisasikannya.
“Saya percaya Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang kini dalam proses penambahbaikan akan lebih diterima selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, seramai 62.3 peratus responden turut bersetuju bahawa kestabilan politik yang wujud di bawah pentadbiran Kerajaan Madani merupakan asas penting dalam memastikan segala pembaikan pentadbiran dapat dilaksanakan dengan lancar.
The post 65.3% penjawat awam sokong Kerajaan Madani kekal hingga PRU16 appeared first on The Reporter.



