65 kejadian banjir monson direkodkan di K’tan, T’ganu: JPS

20 Dec 2022 • 3:49 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Sebanyak 65 kejadian banjir monsun direkodkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) dengan 44 di Kelantan dan 21 di Terengganu dalam laporan semasa kejadian banjir dari 17 hingga 19 Dis.

Ketua Pengarah JPS Datuk Dr Md Nasir Md Noh dalam satu kenyataan hari ini berkata daerah yang merekodkan kejadian banjir tertinggi adalah di kawasan Kemaman, Terengganu dengan lapan kejadian manakala Pasir Mas, Kelantan dengan 14 kejadian.

“Bagi Terengganu, hujan tertinggi direkodkan di stesen Kalabe, Besut dengan jumlah hujan sebanyak 732 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam yang memberikan kala ulangan purata 146 tahun ARI (Purata Selang Ulangan),“ katanya.

Beliau berkata jumlah hujan yang diterima di stesen Kalabe dalam tempoh tiga hari itu adalah sebanyak 1,046 mm dan rekod ini telah melebihi purata hujan bulanan jangka panjang bagi Terengganu iaitu 663 mm.

Selain itu, Md Nasir berkata di Kelantan cerapan hujan tertinggi dalam tempoh 24 jam direkodkan di stesen hujan Kampung Wakaf Raja, Pasir Putih dengan jumlah hujan sebanyak 625 mm memberikan kala ulangan purata 83 ARI.

“Bagaimanapun, purata tertinggi yang dicerap dalam tempoh 48 jam adalah di stesen Serdang di Gunong Barat Bachok, yang menerima hujan sebanyak 903 mm iaitu bersamaan 132 tahun ARI dan rekod ini telah melebihi purata hujan bulanan jangka panjang bagi negeri itu iaitu sebanyak 500 mm,“ katanya.

Pada 17 Dis, JPS telah mengeluarkan sebanyak enam amaran awal banjir bagi Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perak dan Johor berdasarkan maklumat Amaran Hujan Lebat Berterusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Beliau berkata Bilik Kawalan Operasi Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) sentiasa bersiap siaga dalam memberi ramalan dan amaran banjir kepada semua pihak.

Pada masa sama pihaknya memaklumkan orang awam boleh mendapatkan maklumat hebahan amaran banjir dan status aras air sungai serta hujan di seluruh Malaysia pada laman sesawang Public Infobanjir iaitu publicinfobanjir.water.gov.my serta di aplikasi mobile apps MyPublic Infobanjir.-Bernama