
65 Murid Terima Rawatan, Alami Keracunan Makanan
Kira-kira 65 murid sesi pagi di Sekolah Kebangsaan Bandar Puteri Jaya pada Isnin dilaporkan mengalami sakit perut, muntah dan cirit-birit disyaki keracunan makanan, lapor Sinar Harian.
Menurut Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Zubir Othman, kesemua murid yang terlibat adalah murid tahun empat, lima dan enam telah mendapatkan rawatan.
Jelas Zubir, simptom yang dialami oleh kesemua murid disedari selepas mereka dikatakan menjamah kuetiau sup ketika waktu rehat.
“Mereka dikatakan mengalami gejala selepas makan kuetiau sup.
“Pihak sekolah kemudiannya menghubungi talian kecemasan MERS 999 selepas ramai murid mula menunjukkan simptom keracunan lebih kurang pukul 12 tengah hari tadi,” kata beliau ketika dihubungi.
Tambah beliau, kakitangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan staf Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda turut disediakan kelas khas untuk dijadikan lokasi rawatan awal oleh pihak sekolah.
“Tujuh murid kemudiannya dibawa untuk rawatan lanjut di Zon Kuning HSAH dan dilaporkan stabil,” katanya.
Dalam pada itu, pihak PIBG dan pentadbir sekolah menzahirkan ucapan terima kasih terhadap kakitangan HSAH dan PKD Kuala Muda susulan tindakan segera memberikan rawatan kepada semua murid terlibat.
Berikutan kes tersebut, siasatan lanjut akan dijalankan dan kantin sekolah itu diperintahkan tutup sementara selama tiga hari bermula Isnin semalam.
Sumber: Sinar Harian
The post 65 Murid Terima Rawatan, Alami Keracunan Makanan appeared first on Siakap Keli.
