66% pengguna di Malaysia cenderung pilih peruncit tawar fleksibiliti dalam pembayaran - kajian Adyen

4 Jul 2023 • 5:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

66% pengguna di Malaysia cenderung pilih peruncit tawar fleksibiliti dalam pembayaran - kajian Adyen

zulfadli

04/07/2023 - 17:32

KUALA LUMPUR 4 Julai - Sebanyak 66% pengguna di Malaysia lebih setia kepada peruncit yang menawarkan fleksibiliti untuk memulakan pembelian di dalam kedai dan menyelesaikannya dalam talian, menurut Laporan Runcit Adyen Malaysia.

Kajian itu mendapati, sejumlah 70% memilih peruncit yang membenarkan pembelian dalam talian dengan kemudahan pemulangan di dalam kedai.

Katanya, 55% pembeli mengatakan bahawa mereka akan meninggalkan pembelian yang dilakukan jika kaedah pembayaran pilihan mereka tidak tersedia.

"Pengguna Malaysia adalah antara pembeli paling arif di dunia, yang mempunyai jangkaan tinggi terhadap pengalaman membeli-belah yang diperibadikan daripada peruncit kegemaran mereka.

"Daripada pasaran yang ditinjau, pengguna Malaysia adalah yang paling berkemungkinan menghargai keupayaan untuk mengemudi dengan mudah antara membeli-belah di dalam kedai dan dalam talian," katanya dalam kenyataan media di sini.

Untuk menghasilkan laporan itu, Adyen menugaskan Opinium LLP untuk meninjau 36,000 pengguna dan Censuswide bagi meninjau 12,000 perniagaan di seluruh dunia, termasuk 1,000 pengguna dan 505 perniagaan di Malaysia.

Menurut kajian itu, ganjaran kesetiaan merupakan titik penting bagi pengguna, dengan 68% daripada pembeli merasakan bahawa program kesetiaan sedia ada yang ditawarkan peruncit adalah hambar dan 83% mengharapkan program ganjaran lebih baik bagi mengekalkan kesetiaan berterusan.

image is not available
Soon Yean Lee

Katanya, peruncit Malaysia kini mula terbeban dengan jangkaan ini dengan hampir 49% mendapati sukar untuk mengekalkan kesetiaan pelanggan di tengah-tengah landskap perniagaan semasa.

"Majoriti (53%) peruncit juga mengatakan mereka bergelut untuk menyediakan perkhidmatan yang diperibadikan kerana sukar untuk mengkategorikan pelanggan mengikut keperluan dan pilihan mereka," katanya.

Katanya, pengguna Malaysia juga menghargai kemudahan teknologi seperti tempat jualan mudah alih dan kiosk pembayaran sendiri, dengan 44% mengatakan teknologi ini menjadikan pengalaman membeli-belah mereka lebih menyeronokkan.

"Antara teknologi ini, aplikasi mudah alih digemari oleh 56% pengguna, diikuti oleh membeli-belah pelbagai saluran (40%) dan kiosk pembayaran sendiri (39%)," jelasnya.

Dalam pada itu, walaupun hanya 1 dalam 10 (12%) peniaga Malaysia telah melabur dalam perdagangan bersepadu setakat ini, kadar penerimaan semasa gagal memberikan gambaran sebenar mengenai niat keinginan masa hadapan peniaga.

Pada tahun lalu katanya, 35% sudah mula melabur dalam perdagangan bersepadu, dengan tambahan 46% mempertimbangkan untuk berbuat demikian.

Pengurus Negara Malaysia Adyen, Soon Yean Lee berkata, industri peruncitan negara berjaya membuktikan bahawa ia mampu menyesuaikan diri dengan corak pengguna yang berkembang.

"Perkara itu bukanlah satu kejayaan kecil memandangkan pembeli Malaysia mempunyai jangkaan yang tinggi bagi pengalaman membeli-belah yang lancar dan pelbagai saluran.

"Memandangkan keterbukaan peruncit tempatan untuk menerima teknologi sebagai pemacu pertumbuhan, kami optimis bahawa lebih banyak perniagaan di Malaysia akan memanfaatkan hasil laporan ini bagi memenuhi permintaan untuk perkhidmatan yang lebih diperibadikan," katanya. - DagangNews.com