
ROMPIN: Sebanyak 66 kes kematian akibat kejadian lemas direkodkan di seluruh Pahang sejak 2023 sehingga September tahun ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Salahuddin Isa berkata, statistik menunjukkan peningkatan ketara pada 2024 dengan 25 kes kematian berbanding hanya dua kes direkodkan pada hujung 2023.
”Bagi 2025, sebanyak 23 kes kematian akibat lemas dilaporkan manakala bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 16 nyawa sudah terkorban dalam pelbagai insiden di perairan awam seperti sungai, air terjun dan pantai.
”Majoriti insiden membabitkan kawasan sungai dan perkelahan utama di daerah Kuantan, Pekan, Temerloh, Raub serta Jerantut,” katanya di sini bagi mengulas kejadian lemas di Pahang.
Menurut Mohd. Salahuddin, analisis data mendapati sebahagian besar mangsa terdiri daripada golongan remaja dan dewasa yang menjalankan aktiviti rekreasi atau perkelahan bersama keluarga serta rakan-rakan.
Beliau memberi amaran bahawa faktor perubahan cuaca, arus deras yang tidak kelihatan di permukaan, serta ketidakpatuhan terhadap langkah keselamatan menjadi punca utama tragedi berulang.
”Kami menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan peka dengan keadaan persekitaran terutama ketika mengunjungi lokasi perkelahan berisiko tinggi.
”Jangan sesekali mengambil mudah aspek keselamatan seperti memakai jaket keselamatan dan mematuhi papan tanda amaran yang diletakkan di kawasan berbahaya,” katanya.
Beliau berkata, JBPM Pahang sentiasa mempertingkat pemantauan di ‘hotspot’ lokasi lemas serta bersiap sedia dari segi keanggotaan dan peralatan bagi menghadapi sebarang kejadian yang tidak diingini.
Sementara itu, kejadian terbaharu membabitkan lelaki berusia 25 tahun, Muhammad Azreen Othman yang ditemukan lemas di Jeram Air Leleh, Bukit Ibam, Rompin.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa bersama lapan rakannya terdiri daripada tiga lelaki dan lima perempuan datang ke Jeram Air Leleh untuk berkelah kira-kira pukul 2 petang semalam.
“Pada pukul kira-kira 2.30 petang mangsa bersama rakan-rakan turun ke dalam air untuk mandi. Pada pukul 3.30 petang rakan-rakan mangsa telah naik untuk makan dan mangsa tidak naik dan terus mandi.
“Pada pukul lebih kurang 4.05 petang, rakan-rakan mangsa turun semula ke dalam air dan mandi berhampiran dengan mangsa. Lebih kurang pukul 4.30 petang semasa mangsa sedang mandi bergayut pada tali yang diikat antara pokok melintasi anak sungai, mangsa terlepas daripada memegang tali dan terus dibawa arus menuju ke jeram,” katanya. – UTUSAN
The post 66 terkorban akibat lemas di Pahang sejak 2023 appeared first on Utusan Malaysia.



