
KOTA BHARU: Sebanyak 67 peratus atau 6,771 daripada jumlah keseluruhan 10,072 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah berjaya mendapat pekerjaan menerusi latihan peralihan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).
Pengarah Bahagian Kewangan dan Akaun Perhebat Zaidah Mohd berkata jumlah itu membabitkan mereka yang tamat latihan sejak 2018 hingga 2022 menerusi enam pilihan latihan peralihan yang ditawarkan.
Katanya antara pilihan yang ditawarkan termasuk pertanian, keselamatan, pembuatan dan juga perkhidmatan sehingga ada dalam kalangan veteran ATM mampu meraih pendapatan mencecah lebih RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.
“Daripada jumlah 67 peratus itu, seramai 1,789 orang memilih untuk bekerja dengan majikan dengan meraih pendapatan majoriti mereka sehingga RM3,000. Manakala, seramai 3,813 memilih untuk terlibat dengan keusahawanan dengan purata pendapatan RM3,000.
“Selain itu, seramai 1,169 anggota menjadi usahawan yang mempunyai syarikat sendiri dan menjana pendapatan sehingga RM5,000,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Penyampaian Sijil Perhebat di Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan, di sini hari ini.
Zaidah berkata dalam usaha memberi nilai tambah kepada kebolehpasaran veteran dalam sektor pekerjaan, pihaknya turut menjalin kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan dan swasta termasuk Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia dan sebagainya.
Katanya bermula 2021, Perhebat juga telah melaksanakan beberapa langkah transformasi terhadap latihan peralihan yang dilaksanakan antara enam hingga 18 bulan, selain mereka juga akan dipantau dalam tempoh lima tahun selepas bersara.
“Jika sebelum ini Perhebat hanya mampu melatih kurang daripada 25 peratus daripada jumlah anggota yang bakal bersara.. kini Perhebat berupaya melatih lebih 90 peratus daripada jumlah anggota yang akan bersara,” katanya. -Bernama
