
Enam puluh lapan tahun. Mudah untuk menyebut angka itu, seolah-olah ia hanya sekadar nombor atau ulang tahun yang datang dan pergi. Namun dalam perjalanan sebuah bangsa, 68 tahun itu masih terlalu muda. Malaysia masih remaja yang penuh semangat, kadang-kadang resah, sering berani, ragu-ragu dan masih mencari wajah sebenarnya.
Saya percaya, patriotisme bukanlah kesetiaan buta. Ia bukan sekadar mengulang laungan slogan, bukan juga berpura-pura bahawa segalanya indah tanpa cela. Cinta kepada tanah air adalah cinta yang jujur dan cinta yang jujur menuntut kita berani berkata benar. Jika benar kita cintakan Malaysia, maka kita harus sanggup menatap wajahnya tanpa tabir. Kita mesti mengakui adanya rasuah yang mencuri masa depan kita, perpecahan yang menyesakkan politik kita dan lebarnya jurang ketidaksamaan yang menolak terlalu ramai rakyat kita ke tepi jalan pembangunan. Menutup mata terhadap kenyataan ini bukanlah patriotisme, tetapi ia adalah pengkhianatan.
Namun kejujuran tanpa harapan hanyalah kegelapan. Dan Malaysia tidak pernah dibina atas dasar putus asa.
Saya telah menyaksikan berulang kali ketabahan rakyat. Dari ladang getah yang menjadi nadi kehidupan di hari-hari awal kemerdekaan, kejuruteraan moden yang menggerakkan impian hijau kita, hingga anak-anak muda yang berani merombak aturan perdagangan dunia; rakyat Malaysia sentiasa menemukan kekuatan untuk bangkit. Kita bukan bangsa yang sempurna tetapi bangsa yang tidak mudah menyerah.
Enam puluh lapan tahun selepas Merdeka, soalnya bukanlah sama ada kita sudah mencapai segalanya. Soalnya; masihkah kita percaya pada impian tentang siapa yang kita mampu jadi? Dan saya, tetap percaya. Saya percaya andai rakyat bersatu dalam keterangkuman, berani mendesak perubahan dan ketelusan daripada pemerintah serta pemimpin, maka kita mampu menulis semula kisah negara ini.
Inilah saatnya kita bergerak daripada kata-kata kepada makna. Meninggalkan politik sempit yang memisahkan atas nama kaum dan agama, lalu memeluk sepenuhnya kepelbagaian luar biasa yang sebenarnya adalah kekuatan kita. Menyedari bahawa perpaduan bukanlah keseragaman, tetapi kekuatan yang lahir daripada perbezaan. Dan berjanji untuk membesarkan anak-anak kita bukan sahaja dengan ilmu, tetapi juga dengan nilai empati, kejujuran, dan cita-cita.
Malaysia pada usia 68 berada di persimpangan. Kita bukan lagi negara yang rapuh seperti di awal kelahiran, tetapi kita juga belum matang seperti yang diimpikan. Namun di situlah peluangnya. Dekad yang mendatang mampu menandai Malaysia bukan lagi sekadar “negara membangun”, tetapi sebuah bangsa yang benar-benar menunaikan janji kemerdekaannya.
Kita berhutang pada generasi terdahulu yang berjuang menuntut kemerdekaan, yang membina industri dengan keringat, yang berkorban tanpa pernah menuntut pengiktirafan. Dan kita juga berhutang pada generasi selepas itu yang berhak menerima Malaysia yang lebih adil, lebih kuat, lebih bersatu daripada yang kita warisi hari ini.
Maka pada Merdeka yang ke-68 ini, marilah kita raikan bukan sahaja apa yang kita ada, tetapi juga apa yang kita sedang menjadi. Marilah kita jujur tentang luka masing-masung, tabah menghadapi cabaran, tetapi jangan sekali-kali hilang keyakinan terhadap harapan yang menyatukan. Kerana cinta kepada Malaysia bukanlah berpura-pura ia sempurna, tetapi percaya bahawa ia sentiasa boleh diperbaiki, sentiasa boleh menjadi lebih indah.
Merdeka tidak pernah dimaksudkan sebagai noktah kemenangan. Ia adalah pembuka jalan dan permulaan sebuah perjalanan panjang. Dan perjalanan itu masih berterusan, bersama semua. Kita unik kerana kita majmuk.
Selamat Hari Merdeka, sahabat-sahabatku.
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! - Getaran, 31 Ogos 2025


