Lelaki maut tertimbus tebing runtuh ketika gali telaga

30 Oct 2019 • 2:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

PASIR PUTEH - Seorang lelaki yang sedang melakukan kerja-kerja memasang konkrit telaga maut selepas tebing runtuh secara tiba-tiba dalam kejadian di Bukit Peraksi di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu mangsa, Terrance Dunstan Peter, 36, yang berasal dari Kampung Skibang, Bau Sarawak disahkan meninggal dunia oleh pihak Klinik Kesihatan Cherang Ruku selepas menerima rawatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, ketika kejadian mangsa turun ke dalam telaga untuk memasang konkrit pertama dikejutkan dengan insiden tanah runtuh.

“Kesan runtuhan setinggi tiga meter itu telah menyebabkan mangsa tertimbus.

“Rakannya yang sedang mengawal jengkaut bagaimanapun telah berusaha mengawal tanah lain bagi mengelakkan runtuhan menjadi lebih teruk,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.46 pagi.

Katanya, seramai lapan anggota termasuk termasuk pegawai telah bergegas ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat.

“Sejurus pihak kami tiba, mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang ramai yang berada berhampiran lokasi kejadian,” katanya.

Azhar Elmi berkata, mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Cherang Ruku untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Katanya, bagaimanapun pihak klinik mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

"Kerja-kerja menggali telaga itu membabitkan mangsa dan rakannya sahaja," katanya.


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved