SHAH ALAM - Pakar Undang-undang Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Salawati Mat Basir menyifatkan harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen air yang dijual Malaysia kepada Singapura sudah tidak relevan dalam konteks ekonomi hari ini.
Menurutnya, walaupun Perjanjian Air 1962 antara Malaysia dan Singapura itu dipersetujui kedua-dua buah negara, namun ia wajar dilihat semula dan rundingan mengenainya perlu diteruskan.
“Sebenarnya ini bukan kali pertama Malaysia memohon rundingan berhubung isu ini malah dilakukan sejak 1998, 2001, 2002, 2003 diikuti 2018 dan 2019.
“Begitupun, Singapura sering menekankan bahawa Malaysia sudah terlepas peluang untuk melakukan rundingan kerana tidak melakukannya pada 1987 selepas tamat tempoh 25 tahun perjanjian air tersebut seperti termaktub dalam klausa 14 perjanjian air 1962,” katanya selaku ahli panel pada Wacana Sinar Harian di sini malam kelmarin.
ARTIKEL BERKAITAN: Perubahan iklim rumitkan lagi rundingan air dengan Singapura
Salawati berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku apabila ia melibatkan perjanjian di antara kedua-dua buah negara Asean yang berjiran.
Katanya, isu rundingan air itu turut menjadi duri dalam daging hubungan Malaysia dan Singapura sejak bermulanya perjanjian itu sehinggalah kini yang menegangkan hubungan kedua-dua buah negara.
“Ia melibatkan dua bidang kuasa dan kedaulatan negara yang berbeza dan perlu difahami bahawa perjanjian air ini dibuat selaras dengan Perjanjian Pemisahan Malaysia-Singapura 1965.
“Singapura memegang perjanjian ini sebagai salah satu konteks kepada kedaulatan negara mereka,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Malaysia telah bertoleransi terlalu lama berhubung isu air dan mengharapkan usaha rundingan akan diteruskan serta boleh dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa.
Melanggar
Bagaimanapun, katanya, Malaysia terikat dengan situasi ketika ini apabila Singapura sememangnya tidak melanggar perjanjian tersebut sebaliknya mahu harga itu dikekalkan sebagaimana perjanjian 1962 itu.
“Jadi jika Singapura sebagai negara jiran yang baik, mereka sewajarnya sedia ke meja rundingan dan menghormati 'art of negotiation' dalam undang-undang antarabangsa iaitu menghormati jiran serta lawan.
“Dalam hal ini, saya yakin Malaysia tidak akan mengalah dan akan tetap melakukan rundingan serta cuba mempertahankan kedaulatan negara demi mencari keadilan untuk rakyat negara ini,” katanya.
Sementara itu, beliau menyifatkan Malaysia terlalu lama bertoleransi dengan Singapura berhubung perkara itu sejak zaman kolonial British pada 1927 lagi.
Katanya, ketika itu negara kehilangan berjuta-juta gelen air sehingga 1962 dan perkara tersebut masih berlaku sehingga sekarang.
“Isu air ini melibatkan hak dan kita telah pun memberikan subsidi berjuta-juta mereka dan perlu diingatkan bahawa bayaran yang dibuat pihak Singapura adalah dalam Ringgit Malaysia.
“Kalau mereka membeli daripada kita dalam Dolar Singapura mungkin adalah juga rasa bertimbang rasa dalam hal ini. Pada saya Malaysia bukanlah mahu meminta untuk menaikkan harga yang berlipat kali ganda.
“Kita pun tahu dengan situasi semasa ketika ini, cuma pada saya mereka perlu memikirkan semula bahawa harga 3 sen itu sudah tidak munasabah lagi pada abad ke-21 ini,” jelasnya.
Salawati turut menjelaskan mengapa Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli negara, Datuk Dr Xavier Jayakumar mengkaji untuk menaikkan tarif air di seluruh negara kerana sumbernya kini dilihat semakin berkurangan.
Katanya, jika dilihat kepada Undang-undang Sumber Air Antarabangsa pada tahun 2050 suku daripada jumlah penduduk Singapura berkemungkinan tidak akan mendapat sanitasi yang bersih disebabkan oleh kekurangan sumber ini.
“Jadi pada saya mudah sahaja, jika Singapura ada rasa hormat kepada Malaysia maka mereka perlu pergi ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa untuk sama-sama berbincang dalam mencari penyelesaian terbaik bagi kedua-dua belah pihak.“Saya sangat yakin para diplomat kita akan bekerja keras untuk mempertahankan kedaulatan negara dalam isu ini,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Gagal semak semula harga air bukti Singapura tidak ikhlas


