DUNIA seolah-olah terhenti seketika apabila dilaporkan bahawa Dr Mohammed Mursi – Presiden Mesir yang sah daripada Ikhwan Muslimin yang digulingkan oleh tentera pro-Israel pimpinan al-Sisi pada 2013 telah syahid meninggalkan kita.
Beliau dilaporkan rebah dan pengsan sewaktu sesi perbicaraan di mahkamah dan disahkan meninggal dunia pada usia 67 tahun.
Sebelum ini banyak pemerhati antarabangsa mempersoalkan layanan ke atas beliau. Dr Mursi dilayan dengan kejam di penjara Tora yang digelar penjara ‘Kala Jengking’ – malah hingga ke tahap di mana sebuah panel yang dinamakan Detention Review Panel (DRP) yang turut dianggotai para peguam dan ahli Parlimen Britain mengecam kaedah tahanan ini yang dicela sebagai di bawah tahap yang sepatutnya berdasarkan undang-undang antarabangsa.
Melalui Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), Dr Mursi mengetuai Jemaah Ikhwan Muslimin memenangi Pilihan Raya Presiden Mesir pada Jun 2012. Kerajaan Dr Mursi dituduh hanya melantik anggota Ikhwan yang merupakan ahli politik FJP dalam kerajaan sedangkan sebenarnya Dr Mursi telah melantik tiga orang wanita dan dua orang ahli politik Kristian ke jawatan utama pada Ogos 2012.
Banyak pihak menuduh kononnya Dr Mursi tergesa-gesa dalam cubaan mereformasi angkatan tentera Mesir – contohnya tindakan beliau melucutkan kedudukan Panglima Mohamed Hussein Tantawi dan Leftenan Jeneral Sami Hafez Anan serta memecat Pengarah Perisikan, Murad Muwafi.
Namun pada hakikatnya Dr Mursi telah berusaha mengimbangi tuntutan tentera termasuklah memberi pelbagai kelebihan kepada belanjawan dan syarikat milik tentera.
Bagaimanapun, kerajaan Dr Mursi juga mengusahakan pengurangan monopoli tentera dalam projek berskala besar dan berimpak tinggi Mesir seperti dalam kes Projek Pembangunan Koridor Terusan Suez.
Kerajaan Dr Mursi bertindak meletakkan posisi pembuatan keputusan tertinggi projek gergasi ini di tangan Timbalan Perdana Menteri yang melapor secara terus kepada beliau, sekali gus mengetepikan kedudukan dominan tentera Mesir.
Langkah inilah sebenarnya yang membawa kepada rampasan kuasa tentera menjatuhkan kerajaan Dr Mursi.
Mahkamah Tinggi Perlembagaan Mesir menjadi ancaman seterusnya yang berusaha menggugat kerajaan Dr Mursi dahulu. Contoh yang paling nyata apabila ia bertindak membubarkan Dewan Perwakilan Rakyat yang dipilih rakyat pada Jun 2012 – sejurus sebelum Dr Mursi memenangi Pilihan Raya Presiden dalam bulan sama. Pembubaran ini susulan kejayaan Ikhwan Muslimin melalui parti FJP menguasai majoriti kerusi Parlimen pada waktu itu.
Kerajaan Dr Mursi juga difitnah cuba menjadi diktator semata-mata kerana mengusahakan pemusatan kuasa eksekutif di tangan presiden. Hakikat sebenarnya ialah langkah itu terpaksa diambil bagi melindungi proses penggubalan Perlembagaan Mesir agar selari dengan keseimbangan antara hak asasi manusia dan syariah.
Langkah itu jelas bersifat pencegahan kerana kuasa eksekutif yang kuat diperlukan untuk melindungi Perlembagaan daripada disabotaj para hakim pro-bekas diktator, Hosni Mubarak yang jelas menguasai Mahkamah Tinggi Perlembagaan Mesir.
Akibat pakatan tentera Mesir dengan firma-firma gergasi (yang sengaja menjahanamkan bekalan tenaga dan keperluan asas rakyat selepas kemenangan FJP pimpinan Dr Mursi) serta media (seperti Nilesat yang menguasai satelit strategik dalam menyiarkan berita palsu dan fitnah), emosi sebahagian rakyat Mesir telah dibakar untuk sekali lagi berhimpun – kali ini memberi tekanan ke atas kerajaan Mursi agar meletak jawatan. Sejarah menjadi saksi betapa akhirnya Dr Mursi telah ditahan dan digulingkan oleh tentera Mesir di bawah al-Sisi.
Sesungguhnya kita kehilangan seorang tokoh Islamis yang bukan sahaja menghafal al-Quran dan cemerlang sebagai teknokrat kejuruteraan dengan PhD dari University of Southern California, Amerika, serta berpengalaman diiktiraf NASA, tetapi juga pemimpin Mesir yang mampu menguatkan ummah dan menggerunkan Zionis.
Ayuh kita doakan semoga ALLAH gantikan kehilangan ini dengan pemimpin yang tidak kurang hebatnya.
* Abdul Muien Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia



