
Kota Kinabalu: Tujuh acara utama disusun bagi mewarnai Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-74 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman yang bakal berlangsung bulan depan.
Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, berkata persiapan rapi telah dilaksanakan sejak awal Februari menerusi Jawatankuasa Induk dipengerusikannya dan Jawatankuasa Pelaksana untuk memastikan kelancaran setiap acara.
“Sambutan ulang tahun rasmi ini merupakan acara tahunan negeri yang bukan sahaja bertujuan memberi penghormatan kepada TYT, tetapi juga mencerminkan kesatuan serta semangat cintakan negeri dalam kalangan rakyat,” katanya.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa sesi sidang media Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-74 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah yang berlangsung di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata Istiadat Perbarisan dan Perarakan di Padang Merdeka di sini dijadualkan pada 21 Jun ini akan menjadi acara kemuncak dengan penyertaan lebih 80 kontinjen termasuk jabatan kerajaan, agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah.
“Istiadat Perbarisan dan Perarakan di Padang Merdeka kita jangkakan lebih 10,000 yang hadir dengan cuaca baik. Selepas itu, kita turut adakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kawad Istiadat Perbarisan.
“Saya menyeru semua rakyat tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama memeriahkan sambutan ini sebagai tanda penghormatan dan kasih sayang kepada pemimpin tertinggi negeri kita,” katanya.
Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-74 Yang Dipertua Negeri Sabah adalah pada 30 Mac.
Dr Joachim berkata pada 15 Jun ini, Hari Etnik Sabah akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini dan lebih 800 wakil pelbagai persatuan etnik di negeri ini dijangka hadir bagi menampilkan budaya serta warisan masing-masing.
Beliau berkata majlis ramah mesra dan jamuan bakal diadakan yang menghimpunkan pemimpin negeri, wakil diplomatik, ketua jabatan dan wakil masyarakat.
“Majlis itu juga menjadi wadah meraikan jasa dan sumbangan pelbagai pihak dalam memacu pembangunan serta kestabilan negeri Sabah,” katanya.
Menurutnya acara keagamaan juga akan dianjurkan termasuk Program Kerohanian dan Doa Selamat sebagai tanda kesyukuran serta mendoakan kesejahteraan Tun Musa.
Dr Joachim berkata pelbagai acara melibatkan pengisian berbentuk komuniti dan kebudayaan turut dijadualkan antaranya persembahan kesenian, aktiviti hiburan rakyat serta program interaktif melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
“Acara ini bukan sahaja memperkukuh jati diri rakyat Sabah tetapi juga memupuk semangat kekitaan dan kebanggaan terhadap warisan negeri,” tambah beliau.
Hadir sama semasa sidang media itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Dr Jamili Nais, Setiausaha Sulit kepada Musa, Izharudin Jalaludin, Pengarah Penyiaran Sabah Mohd Yusni Mohamed Ali, serta Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor.


