7 Cara Hilangkan Kesan Kuning Pada Sarung Bantal Putih

Home & Living
1 Sep 2026 • 10:23 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

7 Cara Hilangkan Kesan Kuning Pada Sarung Bantal Putih

Sarung bantal putih memang mampu membuatkan bilik tidur kelihatan lebih bersih, segar dan kemas.

Namun, selepas beberapa kali digunakan, kesan kekuningan mungkin mula kelihatan walaupun sarung bantal kerap dicuci.

Jangan risau, keadaan itu tidak semestinya bermakna sarung bantal tidak dicuci dengan betul.

Menurut pakar tekstil, perubahan warna tersebut lazimnya berpunca daripada pengumpulan minyak semula jadi pada kulit, peluh, produk penjagaan kulit dan rambut yang berpindah ke fabrik ketika tidur.

Selain itu, rutin mencuci yang kurang sesuai seperti penggunaan pelembut fabrik berlebihan, helaian pengering atau sisa detergen yang tidak dibilas sepenuhnya juga boleh menyebabkan kotoran lebih mudah melekat pada fabrik.

Jika anda berdepan masalah sama, berikut beberapa cara yang boleh dicuba untuk menghilangkan kesan kuning pada sarung bantal putih.

1. Rendam dengan detergen berasaskan enzim

Bagi sarung bantal jenis kapas atau percale, rendam dalam air suam yang dicampurkan dengan detergen berasaskan enzim selama kira-kira 30 minit hingga satu jam.

Selepas itu, bilas sehingga bersih sebelum mencucinya seperti biasa.

2. Gunakan peluntur oksigen

Jika kesan kekuningan masih kelihatan, sarung bantal boleh direndam dalam larutan peluntur oksigen mengikut sukatan yang disarankan pada produk.

Tempoh rendaman boleh antara satu hingga empat jam sebelum dibilas dan dicuci seperti biasa.

Jangan terus memasukkan sarung bantal yang masih mempunyai kesan ke dalam mesin pengering kerana haba boleh menyebabkan kotoran lebih sukar ditanggalkan.

3. Jemur sarung bantal kapas

Selepas dicuci, sarung bantal kapas atau percale boleh dijemur di bawah cahaya matahari.

Sinaran ultraungu (UV) boleh memberikan kesan pencerahan tambahan pada fabrik.

Jika tidak dapat dijemur di luar, gunakan tetapan suhu rendah ketika mengeringkannya.

4. Berhati-hati jika menggunakan sarung bantal sutera

Sarung bantal sutera memerlukan penjagaan lebih lembut.

Gunakan air sejuk dan sedikit detergen yang sesuai, kemudian gerakkan sarung bantal perlahan-lahan selama 10 hingga 15 minit.

Elakkan memerah, menggosok atau memulas fabrik kerana ia boleh merosakkan material.

Jika label penjagaan membenarkan cucian mesin, gunakan beg dobi, kitaran lembut, air sejuk dan tetapan putaran paling rendah.

5. Cuci dan tukar sarung bantal dengan kerap

Salah satu cara terbaik untuk mengelakkan kesan kuning ialah mencuci sarung bantal dengan lebih kerap serta melakukan penggiliran penggunaannya.

Langkah ini membantu mengurangkan pengumpulan minyak dan peluh pada satu-satu sarung bantal.

6. Beri masa produk penjagaan kulit meresap

Jika anda menggunakan produk penjagaan kulit sebelum tidur, pastikan ia benar-benar meresap ke dalam kulit terlebih dahulu.

Beri masa kira-kira 15 minit sebelum berbaring, terutama selepas menggunakan minyak muka atau produk tertentu seperti retinoid.

7. Pastikan rambut kering sebelum tidur

Rambut yang masih lembap, terutama jika menggunakan produk penggayaan, boleh memindahkan kelembapan dan minyak ke sarung bantal.

Jadi, pastikan rambut dikeringkan terlebih dahulu sebelum tidur.

Baca juga:

Tip tambahan

Selain memastikan sarung bantal bersih, pastikan ia benar-benar kering sebelum disimpan.

Elakkan meninggalkan sarung bantal lembap terlalu lama dalam mesin basuh dan simpan dalam ruang yang mempunyai pengudaraan baik.

Paling penting, sentiasa semak label penjagaan pada sarung bantal sebelum menggunakan sebarang bahan pencuci atau kaedah rawatan.

Cara yang sesuai untuk fabrik kapas tidak semestinya selamat digunakan pada sutera.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved