hamden29/04/2026 - 09:31 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 April - Anak syarikat 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad (SEM), QVI Foods Sdn Bhd (QVI) memeterai perjanjian bagi memperoleh sebidang tanah pertanian pegangan bebas di Seri Kembangan, Selangor dengan nilai RM19 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SEM berkata, QVI yang dimiliki sebanyak 60% telah menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) pada 28 April 2026 dengan beberapa individu bagi pembelian tanah seluas kira-kira 0.86 hektar.
Tanah berkenaan, yang kini digunakan untuk penanaman buah-buahan, terletak di Lot 1904, Mukim Cheras, Daerah Hulu Langat dan bebas daripada sebarang bebanan.
Menurut SEM, harga pembelian itu bersamaan kira-kira RM205 setiap kaki persegi, ditentukan berdasarkan konsep “pembeli sanggup, penjual sanggup” dengan mengambil kira lokasi strategik serta potensi pembangunan masa depan.
“Selepas pemerolehan dimuktamadkan, Kumpulan bercadang membangunkan sebuah pusat komisari makanan di atas tanah tersebut bagi menyokong pengembangan operasi,” katanya.
Dari segi pembayaran, sebanyak 10% daripada nilai urus niaga telah dijelaskan, manakala baki 90% akan diselesaikan dalam tempoh 90 hari daripada tarikh SPA, dengan pilihan lanjutan 30 hari tertakluk kepada kadar faedah 8% setahun.
SEM berkata, pembelian itu akan dibiayai melalui gabungan pinjaman dan dana dalaman kumpulan tanpa melibatkan sebarang liabiliti tambahan.
Tambahnya, cadangan pemerolehan tersebut tidak dijangka memberi kesan material terhadap modal saham, pegangan pemegang saham utama, aset bersih, pendapatan atau tahap penggearan kumpulan.
“Langkah ini membolehkan SEM menceburi aktiviti huluan dalam segmen komisari makanan sekali gus menyokong pelan pengembangan jangka panjang,” jelasnya.
Cadangan pemerolehan itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kawal selia dan dijangka selesai menjelang suku kedua 2026. - DagangNews.com


