
NASI Telur Terengganu dengan sentuhan resipi istimewa warisan zaman silam, terbukti menjadi antara daya tarikan yang berjaya menawan selera orang ramai di Restoran Gamelan di Dataran PHB, Saujana Resort, Selangor.
Uniknya, air tangan Tengku Norziehan Tengku Muda, 60, itu berjaya memikat jiwa pelanggannya sehingga mereka teruja untuk menikmati masakan jarang-jarang dijumpai tersebut tanpa perlu pergi ke Pantai Timur.
Ketika ditemui SinarPlus, Tengku Norziehan berkata, hidangan unik yang diperkenalkan sejak lima tahun lalu berkenaan hanya dihidangkan khas sempena bulan Ramadan atau memenuhi tempahan tertentu sahaja.

“Nasi ini sangatlah sedap tapi nak buat agak rumit. Asasnya hanya nasi putih sahaja tapi digandingkan dengan serunding udang kering yang perlu dimasak selama tujuh jam.
“Kalau resipi original, ia lagi cerewet kerana ada telur ikan terubuk, cuma saya tak letak sebab susah nak dapatkan stok. Saya akan masukkan telur masin dipotong kiub dan telur dadar rangup yang diramas halus ke dalam nasi,” katanya.
Artikel penuh di: https://sinarplus.sinarharian.com.my/lifestyle/abang-kena-kuat-sayang-tunggu-organ-terhimpit-pundi-kencing-bocor-tulang-patah-isteri-koperal-syed-isfan-luah-kesedihan/news" />
Ujar usahawan makanan itu, beliau tidak menafikan ramai yang salah sangka dan beranggapan Nasi Telur Terengganu disamakan dengan nasi goreng biasa.
“Ramai yang belum pernah rasa tapi sekali cuba pasti teringat-ingat. Istimewanya menu ini saya gandingkan dengan lauk Kambing Karima cukup eksklusif.
“Daging kambing itu dimasak dengan rempah kari dan kurma bersama buah kurma. Saya juga beri pilihan lauk lain seperti Daging Mongolia, selain ayam masak merah, bawang, kerutuk serta kuzi,” ujarnya.

Tengku Norziehan turut menawarkan menu signatur seperti Laksa Kuah Merah Terengganu, laksa kuah putih, nasi dagang, nasi kerabu dan banyak lagi untuk sarapan pagi.

Meski premis beroperasi bermula jam 7.30 pagi hingga 5 petang, namun lebih 70 hidangan nasi campur yang dihidangkan bermula jam 11 pagi licin disapu pelanggan tidak sampai dua jam.

Paling laku keras, ikan keli masak sambal nanas, ikan tenggiri tumis merah dan ikan tenggiri singgang menjadi rebutan ramai selain 14 jenis masakan sayur yang dihidang panas-panas.
Saran ibu kepada empat cahaya mata itu, orang ramai jangan risau jika terlepas slot masakan tengah hari kerana masih terdapat menu ala carte yang boleh dicuba seperti aneka sup dan tomyam.

“Snek minum petang pun boleh dicuba seperti karipap ikan (Temosa Raja), kayu keramat, keropok lekor, satar dan banyak lagi,” katanya yang turut menawarkan khidmat katering dengan menu klasik olahan tersendiri.
