7 RUU mansuh hukuman mati mandatori dibentang

7 Oct 2022 • 12:29 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kuala Lumpur: Tujuh rang undang-undang berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Khamis.

Ia melibatkan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Penculikan (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Keadilan Jenayah (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-Undang Senjata (Pindaan) 2022.

Selain itu, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2022, Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.3) 2022 dan Rang Undang-Undang Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 2022 turut dibentang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang membentangkan rang undang-undang berkenaan berkata bacaan kali kedua dijadual dibentangkan pada mesyuarat kali ini.

Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2022 bagi meminda Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) antaranya bagi memberi hakim budi bicara sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau tidak.

Rang Undang-Undang Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 2022 pula antara lain menyatakan seseorang yang berdagang senjata api hendaklah dihukum dengan pemenjaraan sepanjang hayat dan disebat tidak kurang daripada 10 kali.

Sementara itu, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2022 bertujuan menghapuskan hukuman mati mandatori bagi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan antaranya melibatkan pindaan kepada Seksyen 302 yang memberi budi bicara kepada hakim berkenaan dengan pengenaan hukuman mati.

Rang Undang-Undang Keadilan Jenayah (Pindaan) 2022 pula bertujuan meminda Akta Keadilan Jenayah 1953 (Akta 345) dengan memasukkan seksyen baharu 3A bagi menjelaskan terma pemenjaraan sepanjang hayat.

Sementara itu, kerajaan sedang menimbang kemungkinan mewujudkan Majlis Penghukuman, yakni sebuah badan khas yang disasar bagi memupuk ketelusan dan konsistensi yang lebih baik dalam menjatuhkan hukuman, sebagai salah satu cara mereformasi sistem keadilan jenayah.

Wan Junaidi berkata majlis itu akan menjadi sebuah badan awam bebas, sama seperti Sentencing Council yang terdapat di United Kingdom.

“Ini bagi menggalakkan ketelusan lebih baik dan konsistensi dalam menjatuhkan hukuman, di samping mengekalkan kebebasan badan kehakiman,” katanya dalam ucapan semasa melancarkan buku Edisi Keempat Datuk Dr Baljit Singh Sidhu bertajuk “Criminal Litigation Process” di sini, Khamis.

Beliau berkata satu lagi isu yang sedang dipertimbangkan adalah agenda reformasi penjara, dengan kerajaan sedang mengkaji untuk memastikan sebarang hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan konsep keadilan pemulihan.

“Ini bagi memastikan hak semua pihak dilindungi dan terjamin, sekali gus meningkatkan dinamik sistem keadilan jenayah Malaysia,” katanya.

Merujuk kepada buku karangan Baljit, Wan Junaidi berkata penerbitan edisi ke-4 itu menjadi testimoni kepada kepentingan perkara mengenai prosedur jenayah dan proses perbicaraan dalam pengurusan keadilan jenayah.

Beliau berkata pengurusan keadilan jenayah boleh menjadi satu proses yang mencabar kerana ia melibatkan pelbagai mekanisme dan petugas.

“Selain itu, ia memerlukan pengimbangan yang teliti terhadap hak-hak individu di satu pihak dan perlindungan masyarakat di pihak lain. Sebagai ahli dalam soal undang-undang, adalah penting bagi kita untuk mengambil tindakan yang perlu untuk melaksanakan keadilan dan membanteras ancaman jenayah apabila ia muncul.

“Sesiapapun tidak boleh berbuat demikian tanpa terlebih dahulu memahami sejarah serta keadaan semasa undang-undang jenayah negara,” katanya.

Wan Junaidi berkata kekurangan pengetahuan mengenai undang-undang dan prosedur yang diguna pakai turut membantutkan proses perundangan.

“Justeru perlu ada penerbitan yang komprehensif yang masih mengekalkan bahasa yang mudah supaya dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat untuk memahami hak dan kewajipan mereka, skop undang-undang, dan membincangkan bagaimana ia boleh diperbaiki, “ katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.