70 rakan penghantar foodpanda pamer prestasi cemerlang terima hadiah lebih RM100,000 melalui inisiatif 'Bonus Akhir Tahun'

LocalBusiness & Finance
6 Mar 2024 • 4:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

70 rakan penghantar foodpanda pamer prestasi cemerlang terima hadiah lebih RM100,000 melalui inisiatif 'Bonus Akhir Tahun'

zulfadli

06/03/2024 - 16:00

KUALA LUMPUR 6 Mac - Dalam komitmen berterusan foodpanda Malaysia meraikan rakan-rakan penghantar yang berdedikasi, platform penghantaran makanan dan barangan runcit dalam talian itu mengiktiraf 70 'rider' berprestasi cemerlang dengan motosikal baharu dan hadiah wang tunai melebihi RM100,000 melalui program insentif ‘Bonus Akhir Tahun’.

foodpanda berkata, inisiatif itu menyerlahkan dedikasi pihaknya untuk meningkatkan kepuasan kerja serta memupuk budaya penambahbaikan dan kecemerlangan berterusan merentasi rangkaian rakan penghantarannya di seluruh negara.

Katanya, bermula dari 11 November hingga 31 Disember 2023, para pemenang pertandingan Bonus Akhir Tahun menerima hadiah termasuk 14 motosikal Modenas Kriss 110 baharu.

Selain itu pemenang turut membawa pulang topi keledar dan ganjaran wang tunai berjumlah RM2,500 untuk 14 rider, RM2,000 kepadaa 13 rider dan RM1,500 untuk 29 rider, sebagai pengiktirafan kecemerlangan perkhidmatan dan dedikasi mereka.

Ketua Logistik foodpanda Malaysia, Shubham Saran berkata, pihaknya menekankan peranan penting rakan penghantaran dalam operasi syarikat itu.

"Rider kami adalah tulang belakang operasi foodpanda untuk memastikan jutaan rakyat Malaysia dapat menikmati penghantaran makanan dan barangan runcit yang sampai tepat pada masa dan boleh dipercayai.

"Inisiatif Bonus Akhir Tahun mencerminkan usaha berterusan kami untuk mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada rakan penghantaran kami yang berdedikasi.

image is not available
Shubham Saran

"Majlis anugerah kami juga berlangsung tepat pada waktunya seiring dengan ketibaan bulan Ramadan, yang secara tradisinya masa untuk menzahirkan penghargaan dan menyumbang kembali," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Menurut Saran, bagi melayakkan diri untuk menyertai pertandingan itu, rider perlu memenuhi beberapa kriteria, termasuk melengkapkan sekurang-kurangnya 800 pesanan sepanjang tempoh bonus, mempamerkan disiplin diri yang boleh diteladani dan mengekalkan kadar penerimaan pesanan sebanyak 90%.

image is not available

"Kami berhasrat untuk memupuk semangat persaingan yang sihat serta menyemarakkan semangat dan mengiktiraf sumbangan penting mereka dalam pencapaian kami," katanya.

Katanya, inisiatif itu mengiktiraf usaha dan komitmen rakan penghantaran foodpanda yang tidak berbelah bahagi serta menetapkan piawaian kecemerlangan dalam sektor perkhidmatan penghantaran.

image is not available

Ia menonjolkan penghargaan foodpanda yang ikhlas terhadap dedikasi ridernya untuk membawa kegembiraan dan kepuasan kepada pelanggan di seluruh negara, katanya. - DagangNews.com