Bekalan air Hospital Banting pulih

23 Dec 2019 • 4:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

SHAH ALAM - Bekalan air di Hospital Banting dekat sini berada dalam keadaan terkawal dan tidak dicatu walaupun beberapa kawasan di Kuala Langat terjejas susulan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sejak Sabtu lepas akibat pencemaran bau.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, ia berikutan hospital berkenaan mendapat bekalan airnya daripada LRA Labohan Dagang yang telah mula beroperasi sejak Jun lepas.

"Bekalan air hanya dicatu pada hari pertama LRA Sungai Semenyih ditutup dan mulai semalam (kelmarin) dan bekalan air di Hospital Banting telah kembali seperti biasa dan bekalan air yang disalurkan ke tangki utama hospital masih dalam keadaan normal dan hanya Hospital Serdang sahaja dicatu penggunaan airnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

LRA Labohan Dagang fasa satu yang mula beroperasi sejak Jun lepas mampu mengeluarkan air terawat sebanyak 200 juta liter sehari untuk pengguna sekitar Kuala Langat.

LRA berkenaan yang mempunyai kolam takungan utama seluas 110 hektar juga mampu menyediakan bekalan air mentah selama 75 hari sekiranya berlaku pencemaran di sumber airnya di Sungai Langat.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bekalan air di Hospital Banting dan Hospital Kajang terpaksa dicatu berikutan penutupan LRA Sungai Semenyih.

Dr Noor Hisham berkata, catuan berkenaan terpaksa dilakukan bagi memastikan perkhidmatan hospital berkenaan dapat dijalankan. - Bernama


View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved