73 ejen, pemilik syarikat direman kes palsukan tuntutan Daya Kerjaya RM9 juta

LocalPolitics
11 Jun 2026 • 5:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 73 ejen, pemilik syarikat direman kes palsukan tuntutan Daya Kerjaya RM9 juta
Antara 73 individu yang terdiri daripada ejen dan pemilik syarikat direman oleh SPRM kerana disyaki memalsukan tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0 bernilai kira-kira RM9 juta.

KUALA LUMPUR - Seramai 73 individu yang terdiri daripada ejen dan pemilik syarikat direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki memalsukan tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0 bernilai kira-kira RM9 juta.

Kesemua suspek yang terdiri daripada 48 lelaki dan 25 wanita berusia antara lingkungan 20 hingga 70-an itu ditahan pada petang dan malam Selasa lalu di pejabat SPRM seluruh negara kecuali Perlis.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2024 hingga 2025.

Katanya, mereka disyaki mengemukakan tuntutan palsu melibatkan bantuan penggajian kerajaan sebanyak RM1,500 sebulan selama enam bulan bagi setiap pekerja yang diambil bekerja oleh majikan sektor swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Pada 9 Jun lalu, SPRM menerusi Bahagian Perisikan, Bahagian Siasatan dan SPRM negeri dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah melaksanakan satu operasi bersepadu.

"Dalam operasi itu, penggeledahan dijalankan di 90 lokasi melibatkan premis syarikat dan seramai 83 individu ditahan, terdiri daripada enam ejen dan 77 pemilik syarikat," katanya pada Khamis.

Menurutnya, hasil risikan yang dijalankan sejak November tahun lalu mendapati operasi tersebut menyasarkan 143 premis syarikat di seluruh negara serta 320 individu yang dikaitkan dengan tuntutan berkenaan.

Beliau berkata, sepanjang operasi itu juga SPRM telah merakam 104 percakapan melibatkan 32 orang kena siasat (OKS) dan 72 saksi.

"SPRM turut membekukan 25 akaun bank syarikat yang mempunyai jumlah wang kira-kira RM390,000 bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

"Siasatan masih diteruskan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.