
KUALA LUMPUR - Sistem Ahli Majlis yang dikemukakan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190) merupakan langkah pertama ke arah pentadbiran bandar yang lebih seimbang dan membawa banyak suara dalam proses membuat keputusan.
Perkara berkenaan disuarakan Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur (KLRA + SD), yang mewakili 74 persatuan penduduk, enam rakan masyarakat sivil dan kerjasama dengan akademik di ibu kota.
Menurut KLRA + SD, sejak berdekad, kuasa terhadap perancangan dan pembangunan Kuala Lumpur tertumpu kepada struktur berpusat Datuk Bandar dan Menteri Wilayah Persekutuan.
Ia sekali gus menyumbang kepada cabaran bandar yang berpanjangan seperti kesesakan lalu lintas, banjir kilat, kualiti alam sekitar yang merosot, kehilangan ruang hijau, dan pembangunan berlebihan yang melebihi kapasiti infrastruktur.
Justeru dengan adanya sistem Ahli Majlis, ia akan membawa lebih banyak suara ke dalam proses membuat keputusan DBKL selain meningkatkan potensi pengawasan terhadap perancangan dan pembangunan, menyokong akauntabiliti yang lebih besar dan menawarkan asas untuk reformasi masa depan.
“KLRA+SD amat mengesyorkan supaya RUU menyatakan kriteria bagi pelantikan ahli majlis merangkumi pendidikan minimum seperti ijazah sarjana muda yang diiktiraf, pengalaman dalam bidang berkaitan tadbir urus bandar, rekod integriti dan perkhidmatan awam yang terbukti serta tiada konflik kepentingan.
“Kriteria kelayakan yang jelas akan memastikan Ahli Majlis yang dilantik adalah kompeten, bebas dan mampu membuat keputusan yang berinformasi serta mencerminkan kepentingan terbaik penduduk Kuala Lumpur,’’ katanya dalam kenyataan.
Pada Khamis, tujuh Ahli Parlimen Kuala Lumpur mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi pindaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, dengan mencadangkan sistem Ahli Majlis, untuk memastikan ketelusan dan mewakili kepentingan rakyat, bukannya pemaju.
Ahli-Ahli Parlimen terbabit ialah Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Teresa Kok (Seputeh), IR. TS. Zahir Hasan (Wangsa Maju), Tan Kok Wai (Cheras), Lim Lip Eng (Kepong), P. Prabakaran (Batu) dan Fong Kui Lun (Bukit Bintang).
Mengulas lanjut, KLRA + SD berkata, proses penglibatan awam termasuk sesi town-hall mengenai Pelan Tempatan KL (KLLP2040) dan Pelan Struktur KL (KLSP2040) sering tidak mencukupi.
Malah, meskipun ramai penduduk memberikan maklum balas yang bernas, kebimbangan mereka tidak sepenuhnya tercermin dalam hasil akhir, yang menjejaskan kepercayaan awam terhadap proses tersebut.
“KLRA+SD sedar Rang Undang-Undang Ahli Persendirian jarang dibawa ke perbahasan di Parlimen, apatah lagi menjadi undang-undang namun terdapat duluan di mana RUU Ahli Persendirian berjaya mendapat perhatian melalui pengambilan oleh Kerajaan, contohnya RUU 355, pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965).
“Walaupun laluan perundangan mungkin mencabar, perhatian terhadap RUU Ahli Persendirian yang bernilai ini boleh mencetuskan perbincangan penting dan membuka jalan untuk reformasi yang diketuai oleh kerajaan,’’ katanya. - 21 November, 2025
The post 74 persatuan di KL sokong sistem Ahli Majlis ‘selepas kebimbangan penduduk tidak sepenuhnya dapat perhatian’ appeared first on Scoop.

