
Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan 76 badan berkanun dan syarikat berkepentingan kerajaan (GIC) negeri, yang belum menubuhkan Unit Integriti dan Governans (IGU), untuk berbuat demikian tempoh tiga bulan hingga Disember ini.
Beliau menegaskan penubuhan unit itu penting kerana setakat ini hanya sembilan badan berkanun dan GIC negeri telah menubuhkan unit berkenaan di agensi masing-masing.
“Justeru, saya mengarahkan 76 lagi badan berkanun dan GIC untuk mengambil perhatian serius arahan ini,” katanya ketika merasmikan Hari Integriti Negeri Sabah Tahun 2022 di Auditorium Utama, Menara Kinabalu, di sini pada Khamis.
