Kelar leher sendiri selepas kereta dirempuh

7 Sep 2019 • 12:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

TANJONG KARANG - Seorang warga emas mati dipercayai mengelar leher sendiri selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Tali Air, Sawah Sempadan di sini pagi tadi.

Kejadian jam 2.30 pagi itu dipercayai berlaku ketika pemandu lelaki Mercedes-Benz C200 berusia 66 tahun menghentikan kenderaannya di tengah jalan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Noor Janihan Nanyan berkata, bahagian hadapan kereta mangsa dirempuh Perodua Myvi dipandu Muhammad Fadzli Muhammad Yusari, 40, dari arah Rawang ke Tanjong Karang.

"Pelanggaran itu dipercayai mengakibatkan pemandu Perodua Myvi gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas masuk ke dalam parit dan maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

"Susulan itu, pemandu Mercedes terbabit bertindak mengelar lehernya sendiri hingga meninggal dunia di tempat kejadian. Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan polis," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan terbabit pada jam 2.31 pagi.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian. Kemalangan melibatkan sebuah dua kenderaan dan menyebabkan Myvi terbabit terbabas lalu masuk ke dalam parit," katanya.

"Kedua-dua pemandu yang tersepit di berjaya dikeluarkan sepasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.