Seramai 8.5 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) telah direkodkan setakat ini, melibatkan jumlah agihan sebanyak RM4 bilion menerusi Fasa 1 dan Fasa 2 pembayaran STR.
Memetik laporan Harian Metro, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa masih berbaki dua fasa bayaran STR yang akan dibuat masing-masing pada Ogos dan November 2025.
“Kerajaan telah meningkatkan peruntukan ke tahap tertinggi bagi STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu kepada RM13 bilion, berbanding RM10 bilion sebelum ini.
“Peningkatan ini memberi manfaat kepada sembilan juta penerima, bersamaan 60 peratus daripada penduduk dewasa negara,” katanya.
Baca juga:
Menurut MOF, bagi program SARA, seramai 5.4 juta penerima direkodkan, dengan jumlah kelayakan setahun sebanyak RM5 bilion.
“Sehingga 14 Julai 2025, lebih 4.9 juta penerima telah menggunakan MyKad untuk membeli barangan asas di premis-premis berdaftar, menunjukkan kadar penggunaan sebanyak 92 peratus bagi bulan keempat pengkreditan.
“Jumlah penerima SARA juga telah meningkat secara signifikan daripada 700,000 kepada 5.4 juta bermula April 2025,” tambah kenyataan itu.
MOF turut menegaskan bahawa kerajaan kekal komited memantau situasi semasa dan memastikan segala bentuk bantuan tunai terus sampai kepada golongan yang memerlukan dalam usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat.
The post 8.5 juta terima STR, RM4 Bilion sudah disalurkan fasa 1 & 2 appeared first on The Reporter.




