Tahun 2024 merupakan tahun dimana komputer dengan fungsi kecerdasan buatan (AI) terbina mula dipasarkan secara besar-besaran. Intel memulakan pengeluarannya bersama-sama cip pemprosesan Meteor Lake pada penghujung tahun lepas dan Lunar Lake tidak lama lagi. Tahun ini mereka disertai oleh Apple melalui cip Apple M4, Qualcomm melalui penawaran Qualcomm Snapdragon X dan AMD dengan cip pemprosesan AMD Ryzen AI 300.
Syarikat penganalisa pasaran Canalys baru-baru ini telah melaporkan bahawa pada suku kedua tahun ini sahaja, kira-kira 8.8 juta komputer yang dipasarkan secara global, ataupun 14 peratus daripada jumlah PC yang dipasarkan adalah sebuah PC dengan kemampuan AI terbina.

Menurut mereka juga, 40 peratus daripada komputer-komputer yang dipasarkan dalam suku ini ialah komputer riba Microsoft Windows 11, yang baru-baru ini telah memperkenalkan konsep Copilot+ PC mereka, yang memerlukan sebuah komputer hadir dengan kemampuan pemprosesan AI 40 TOPS dan 16GB memori DDR5.
Untuk segmen komputer riba Microsoft Windows, Lenovo, HP dan Dell dengan penawaran komputer riba AI mereka mendominasi jumlah pengeluaran pada suku ini, khususnya dengan penawaran seperti Lenovo Yoga Slim 7x dan ThinkPad T14s, HP Omnibook X14 dan Dell XPS 13 yang dikuasakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X.
Seperti yang dijangka, Apple dilihat mendahului pasaran keseluruhan komputer dengan kemampuan AI, dimana kebanyakan daripada komputer riba dan tablet dengan cip pemprosesan M3 dan M4 yang dilancarkan sudahpun hadir dengan kemampuan AI. Cuma bezanya ialah setakat ini, produk keluaran Apple ini masih menunggu ketibaan Apple Intelligence untuk membolehkan pengguna memanfaatkan kemampuan AI tersebut.
Laporan Canalys juga menjangkakan bahawa menjelang penghujung 2024, sebanyak 44 juta PC AI akan dipasarkan, dan pada 2025, angka ini akan meningkat ke 103 juta unit. Selepas itu, ia dilihat bahawa kemampuan AI akan menjadi sebati dalam semua komputer yang dipasarkan ke pengguna.


