
Kota Kinabalu: Kementerian Kesihatan sedang dan akan menaik taraf 58 klinik kesihatan daif di Sabah pada tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, setakat empat bulan pertama tahun ini, tiga klinik telah siap dinaik taraf manakala, 55 klinik lagi sedang dalam proses pelaksanaan. Sejumlah RM21.5 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja menaik taraf tersebut.
“Itu komitmen untuk menangani klinik-klinik daif dan ada yang sedang dalam pembinaan utk kita siapkan sebelum hujung tahun ini
“Saya beritahu Pengarah (Jabatan Kesihatan Negeri) agar tiada projek menaik taraf yang dibawa ke tahun depan,” katanya semasa Majlis Sambutan Hari Malaria, Tibi dan Kusta Sedunia peringkat kebangsaan, di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Ahad.
