Lapan petuas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) terbunuh dalam satu serangan udara oleh tentera Israel di Beit Lahiya, utara Gaza, pada Sabtu.
Insiden berkenaan berlaku ketika para petugas sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat genosid berterusan oleh rejim.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dalam satu kenyataan mengecam sekeras-kerasnya serangan kejam yang dilakukan.
“Tindakan menyerang orang awam yang sedang menjalankan tugas kemanusiaan adalah jenayah paling keji dan terkutuk,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis MAPIM, Datuk Sani Araby menggesa rakyat Malaysia untuk mengadakan doa Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan saudara-saudara di Gaza.
Operasi kemanusiaan terjejas
Menurut Sani, MAPIM dan rakan strategiknya, Al-Khair Foundation, amat terkejut serta berduka cita dengan kehilangan anggota misi lapangan, termasuk tiga petugas media yang bertanggungjawab dalam dokumentasi operasi bantuan kemanusiaan di Gaza.
“Serangan ini bukan sahaja mengorbankan nyawa yang tidak berdosa, tetapi turut menjejaskan operasi kemanusiaan penting di Gaza.
“Tindakan menyerang petugas kemanusiaan adalah satu perbuatan terkutuk dan jenayah perang paling keji.
“Serangan ini bukan sahaja mengorbankan nyawa yang tidak berdosa tetapi turut menjejaskan misi kemanusiaan di Gaza,” katanya.
Lapan petugas kemanusiaan yang terkorban telah dikenalpasti sebagai; Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Bilal Hossam Oqeila, Mahmoud Samir Oselim, Mahmoud Khaled Oselim, Mohammed Al-Ghafeer, Hazem Ghareeb, Bilal Abu Matar dan Ahmad Hamad.
MAPIM turut menegaskan bahawa serangan terhadap petugas kemanusiaan ini adalah satu pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva yang melindungi penduduk awam di zon konflik.
Sani juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk segera bertindak menghentikan keganasan ini dan memastikan keadilan ditegakkan untuk mangsa serta keluarga mereka.
Beliau turut menggesa pemimpin dunia, badan kemanusiaan, dan masyarakat antarabangsa untuk mengecam tindakan tersebut serta menuntut pertanggungjawaban daripada pihak yang bertanggungjawab.
“Ini bukan sekadar serangan ke atas Gaza, tetapi satu serangan terhadap nilai kemanusiaan sejagat.
“Masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri, mesti tampil ke hadapan dan memastikan keadilan ditegakkan. Serangan ini adalah satu serangan langsung terhadap maruah manusia dan keamanan dunia,”katanya.
The post 8 petugas kemanusiaan MAPIM terbunuh dalam serangan udara di Gaza appeared first on The Reporter.


