8 Rumah Musnah, Kebakaran Awal Pagi Di Kuala Perlis 

13 Jun 2026 • 10:34 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

8 Rumah Musnah, Kebakaran Awal Pagi Di Kuala Perlis 

KUALA LUMPUR - Lapan buah rumah musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran besar yang berlaku pada awal pagi di Kampung Seberang Alor, yang terletak dalam kawasan Kampung Raja Kuala Perlis.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis melancarkan operasi kecemasan sejurus menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.38 pagi.

Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Nor Ahmad Zaki Ashrafi Nor Azli berkata, seramai 17 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Perlis serta Kangar dikerahkan ke lokasi sebaik sahaja laporan diterima.

Operasi pemadaman turut diperkuatkan dengan bantuan 30 anggota bomba sukarela dari Simpang Empat, Padang Besar, Kuala Perlis dan Pauh, selain seorang anggota bomba bantuan.

“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan mendapati api telah marak dan memusnahkan lapan buah rumah, manakala sebuah motosikal turut terbakar sepenuhnya,” katanya.

Menurut beliau, pasukan bomba bagaimanapun berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke struktur berhampiran sebelum api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 4.40 pagi.

Pengarah JBPM Perlis, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin, mengesahkan bahawa kejadian itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.

Beliau berkata, pasukan forensik kebakaran telah dihantar ke lokasi bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kejadian.

“Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami masih dalam siasatan,” katanya. - Getaran, 13 Jun 2026