801 anggota polis, Rela digerakkan ke kawasan banjir

27 Dec 2023 • 7:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan sebuah kereta yang ditenggelami banjir akibat hujan lebat semasa tinjauan pada Rabu. Foto: Bernama

image is not available
Keadaan pekan Rantau Panjang, Pasir Mas yang masih ditenggelami banjir ketika tinjauan pada Rabu. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Sejumlah 647 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 154 petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) telah diatur gerak ke kawasan banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, aset melibatkan 35 bot, 29 lori dan 56 kenderaan pacuan empat roda turut digerakkan ke kawasan terjejas banjir.

"Kekuatan anggota dan aset akan ditambah berdasarkan situasi bencana," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan gerak kerja PDRM turut dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

KDN menasihati orang ramai supaya patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi melancarkan operasi bantuan dan menyelamatkan mangsa banjir.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi banjir boleh menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM melalui talian 03-2266 3333/03-2266 3444/03-2266 3451 atau talian MERS 999 bagi bantuan kecemasan. - Bernama