805,509 OKU berdaftar di Malaysia, mewakili 2.4% penduduk pada 2024 - DOSM

11 Dec 2025 • 2:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

805,509 OKU berdaftar di Malaysia, mewakili 2.4% penduduk pada 2024 - DOSM
image is not available
johardy11/12/2025 - 14:37 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Dis – Malaysia merekodkan 805,509 orang kurang upaya (OKU) berdaftar, bersamaan 2.4% daripada penduduk negara pada 2024, menurut Statistik Orang Kurang Upaya, Malaysia 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

 

Penerbitan komprehensif itu merangkumi indikator terpilih OKU meliputi penduduk, kesihatan, pendidikan, guna tenaga, pendapatan, perbelanjaan isi rumah, perkhidmatan kebajikan serta sukan. Penyediaan statistik ini berasaskan United Nations Convention on the Rights of Persons with Disabilities (UNCRPD).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan pendaftaran OKU menuntut penekanan berterusan terhadap dasar inklusif.

 

“Pada 2024, Malaysia merekodkan 805,509 OKU berdaftar, mewakili 2.4% daripada jumlah penduduk. Ini menekankan kepentingan polisi inklusif bagi memastikan hak dan peluang yang sama untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

 

Dalam pecahan kategori, ketidakupayaan pembelajaran kekal paling tinggi dengan 299,128 orang (37.1%), diikuti ketidakupayaan fizikal sebanyak 286,634 orang (35.6%). OKU penglihatan berjumlah 68,665 orang (8.5%), manakala ketidakupayaan pertuturan adalah paling rendah dengan 4,136 orang (0.5%).

 

Dari segi pendidikan, jumlah Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) meningkat di semua peringkat pada 2024. Sekolah Pendidikan Khas mencatatkan pertumbuhan:

  • 5.6% di peringkat prasekolah

  • 11.0% peringkat rendah

  • 4.6% peringkat menengah

 

image is not available

 


Penyertaan OKU dalam sektor perkhidmatan awam turut bertambah kepada 4,209 penjawat awam OKU pada 2024, meningkat 7.9% berbanding 3,901 orang pada tahun sebelumnya. Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 20.1%, diikuti Sabah (17.2%) dan Kedah (13.2%).

 

Pendapatan isi rumah yang mempunyai OKU juga menunjukkan peningkatan positif.

  • Pendapatan bulanan kasar isi rumah median meningkat daripada RM4,390 (2022) kepada RM5,104 (2024).

  • Pendapatan bulanan kasar isi rumah purata meningkat daripada RM5,679 kepada RM6,540 dalam tempoh sama.

  •  

    Perbelanjaan penggunaan bulanan isi rumah purata pula naik daripada RM3,974 (2022) kepada RM4,545 (2024).

     

    Dari sudut kebajikan, 262,618 OKU menerima bantuan JKM berjumlah RM1.1 bilion pada 2024. Bantuan terbesar ialah:

    • Bantuan OKU tidak berupaya bekerja: 120,844 orang

    • Elaun pekerja OKU: 106,055 orang

    • Bantuan penjagaan OKU terlantar/penyakit kronik: 34,476 orang

     

    Sukan OKU turut merekodkan perkembangan positif dengan peningkatan 36.6% atlet OKU, daripada 71 orang (2023) kepada 97 orang (2024), terdiri daripada 76 atlet lelaki dan 21 atlet wanita.

     

    DOSM berkata laporan penuh Statistik Orang Kurang Upaya, Malaysia 2024 kini boleh dimuat turun secara percuma di portal rasmi jabatan. - DagangNews.com

    Terkini featured standard