814 penyewa premis MPKS nikmati pengurangan sewa selama enam bulan

LocalBusiness & Finance
25 Jun 2026 • 12:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

814 penyewa premis MPKS nikmati pengurangan sewa selama enam bulan

SHAH ALAM, 25 JUN: Seramai 814 penyewa premis di bawah Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) akan menikmati pengurangan kadar sewa sebanyak 30 peratus selama enam bulan bermula Julai menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2.

Yang Dipertua MPKS Mohamad Hanafe Basri berkata, inisiatif tersebut melibatkan penyewa gerai, kiosk, kedai dan pasar awam di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan itu.

"Majlis menyambut baik pengumuman pakej berkenaan dan akan melaksana pengurangan 30 peratus kadar sewa kepada penyewa bermula Julai hingga Disember.

"Jumlah terlibat 814 penyewa dan sepanjang enam bulan ini kos ditanggung majlis sejumlah RM346,140 (atau) RM57,690 sebulan, berbanding jumlah sewaan (bulanan) dikutip RM192,302," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Image from: 814 penyewa premis MPKS nikmati pengurangan sewa selama enam bulan
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Mohamad Hanafe Basri. Foto X Pejabat SUK Selangor

Pada 19 Jun lalu, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengumumkan pengurangan kadar sewa premis milik PBT sebanyak 30 peratus bagi tempoh enam bulan, bermula Julai hingga Disember.

Beliau berkata, inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 itu bertujuan membantu peniaga menghadapi kesan krisis bekalan dan tenaga global, sekali gus memberi manfaat kepada 21,234 penyewa premis PBT di seluruh Selangor.

Menurutnya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4.5 juta bagi melaksanakan bantuan berkenaan yang akan disalurkan secara automatik tanpa memerlukan sebarang permohonan daripada penyewa.

Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 diumumkan pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor sebagai langkah membantu rakyat dan sektor perniagaan berdepan kenaikan kos susulan gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan pasaran tenaga global.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved