83% Pekerja Selesa Kerja Secara Hibrid, Rasa Lebih Produktif Berbanding Di Pejabat – Zoom

TechnologyBusiness & Finance
6 Sep 2024 • 12:45 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Sejak pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia pada tahun 2020, kerja dari rumah atau work-from-home (WFH) sudah mula menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat.

Dalam pasca pandemik ini, sesetengah pekerja masih diberi pilihan untuk WFH atau hibrid iaitu hanya ke pejabat beberapa kali dalam seminggu.

Malah, sesetengah syarikat di Malaysia turut mengaplikasikan kerja secara hibrid dan ia mendapat sambutan yang cukup positif dalam kalangan pekerja.


Pekerja Seluruh Dunia Gemar Dengan Pilihan Bekerja Secara Hibrid

Menerusi satu kajian yang dilakukan oleh Zoom bersama Reworked INSIGHTS pada April hingga Mei lalu melibatkan hampir 2,500 orang responden, mereka mendedahkan bahawa bekerja secara hibrid merupakan pilihan bekerja di seluruh dunia.

Hasil kajian mendapati 83% pekerja lebih produktif dan mampu menyiapkan tugasan lebih cepat dalam suasana hibrid berbanding melakukan kerja di pejabat.

image is not available
Sumber: Pexels

Malah, 82% daripada mereka juga berpendapat bahawa mereka berasa lebih ‘dekat’ dengan rakan sekerja dan pengurus apabila bekerja secara hibrid.

“Untuk membina hubungan yang baik dengan rakan sekerja itu tidak perlu dilakukan dengan sentiasa berinteraksi secara bersemuka,” dedah Zoom dalam hasil kajian didapati dari responden.

Sementara itu, 84% pengurus dalam syarikat menyatakan bahawa peningkatan tahap produktiviti dalam kalangan pekerja menjadi keutamaan mereka apabila menentukan gaya kerja terbaik.

Walau bagaimanapun, 75% daripada golongan pengurus syarikat mengatakan mereka berkemungkinan akan menukar gaya kerja dalam organisasi pada tempoh dua tahun akan datang.

Dalam kajian sama, negara di Eropah dilihat lebih banyak mengamalkan gaya kerja secara hibrid iaitu sebanyak 75% berbanding 58% di negara-negara sekitar Asia Pasifik.


Pekerja Di Malaysia Pun Selesa Dengan Menyiapkan Tugasan Secara Hibrid

Dalam satu tinjauan Workmonitor 2024 oleh agensi pengambilan pekerja, Randstad mendapati 86% pekerja di Malaysia memilih untuk hadir ke pejabat tiga hari seminggu.

Menurut Pengarah Negara Randstad Malaysia, Fahad Naeem, tinjauan yang membabitkan 517 pekerja di negara ini mendedahkan 39% daripada responden memilih untuk berhenti kerja jika diminta bekerja lebih lama di pejabat.

Malah, 33% responden menyatakan bahawa WFH merupakan sesuatu yang tidak boleh dirunding.

image is not available
Sumber: Pexels

Fahar berkata keadaan ini menyebabkan individu yang mencari kerja lebih memilih pekerjaan, malah sanggup menolak tawaran dengan gaji lebih tinggi jika perlu hadir ke pejabat setiap hari.

“Trend ini amat kuat dalam kalangan generasi muda, dengan hampir separuh daripada Gen Z (49%) dan Milenium (47%) menentang pengaturan kerja yang tidak fleksibel,” katanya.