850 Ribu Penerima Penghargaan SARA Belanja Lebih RM50 Juta Pada Hari Pertama

LocalBusiness & Finance
1 Sep 2025 • 12:02 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

850 Ribu Penerima Penghargaan SARA Belanja Lebih RM50 Juta Pada Hari Pertama

Hari pertama pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada lebih 22 juta rakyat Malaysia dewasa mencatatkan sambutan yang amat menggalakkan.

Sehingga jam 9.30 malam tadi, sekitar 850,000 penerima telah berbelanja melebihi RM50 juta.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa sambutan tinggi pada hari pertama menyebabkan sistem pembayaran melalui rangkaian MyKasih mengalami transaksi mendadak. Keadaan itu menjejaskan prestasi di beberapa lokasi.

“Sambutan tinggi daripada penerima Penghargaan SARA hari ini telah menyebabkan sistem mengalami transaksi mendadak.

“Susulan daripada itu, sistem terminal pembayaran yang dikendalikan melalui rangkaian MyKasih telah mengalami penurunan prestasi yang ketara di beberapa lokasi,” jelas MOF menerusi satu kenyataan.

Meskipun begitu, MOF menjelaskan bahawa walaupun sistem telah beroperasi dengan lebih perlahan, transaksi masih diterima dan diproses.

“Kementerian Kewangan (MOF) dan MyKasih telah mengambil langkah untuk meningkatkan kapasiti sistem supaya pada esok hari, 1 September 2025, rakyat dapat terus membuat pembelian melalui SARA dengan lancar tanpa gangguan.

“Bagi memastikan sistem kembali stabil dan bersedia untuk rakyat meneruskan perbelanjaan melalui SARA pada 1 September 2025, pihak MyKasih akan melaksanakan kerja penyelenggaraan sistem pada malam ini,” tegas MOF.

Dalam pada itu, MOF turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna serta memberi jaminan untuk terus memantau pelaksanaan inisiatif ini.

Difahamkan, bilangan transaksi pada hari ini adalah jauh lebih tinggi berbanding pengalaman sebelum ini. Sehingga 30 Ogos 2025, pelaksanaan bulanan SARA hanya mengendalikan purata sekitar 600,000 transaksi harian.

Kementerian itu juga mengingatkan bahawa kredit RM100 one-off Penghargaan SARA masih sah digunakan sehingga 31 Disember 2025 di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.

image is not available
Sumber: Kementerian Kewangan