
SHAH ALAM 18 OGOS: Seramai 87 individu dilantik Ahli Mediator Komuniti (MK) di negeri ini, yang ditauliah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Selangor.
EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail berkata ahli MK merupakan ejen pendamai bagi menangani perselisihan atau krisis yang mampu menggugat keharmonian dalam komuniti.
“Ahli MK ini dilantik di setiap daerah dan orang ramai yang ada masalah kecil seperti pergaduhan dengan jiran atau sebagainya, boleh bertemu dengan mereka di pejabat perpaduan daerah.

“Ahli MK yang kita lantik ini merupakan sukarelawan yang dilatih dan terdiri daripada pemimpin komuniti. Perkhidmatan yang disediakan juga adalah percuma,” katanya.
Terdahulu, Rizam menyempurnakan perasmian Sesi Libat Urus MK Bersama Agensi dan penyerahan watikah pelantikan di Pusat Konvesyen Midlands di sini, hari ini.
Program itu turut dihadiri Pengarah JPNIN Selangor Burhanuddin Daud dan Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim.
MK merupakan penggerak dan pemangkin dalam usaha kerajaan menjayakan perpaduan di peringkat akar umbi, selain sebagai pendamai masyarakat.
Mereka merupakan petugas sukarelawan dan berfungsi sebagai perantara membantu dua pihak bertelingkah untuk mencari jalan penyelesaian yang dipersetujui bersama.
The post 87 individu dilantik Mediator Komuniti di Selangor, jadi pendamai masyarakat appeared first on Selangorkini.
