
PEKAN – Gerakan koperasi kariah masjid di Pahang terus menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan nilai aset keseluruhan kira-kira RM5.4 juta dengan modal syer anggota mencecah hampir RM2 juta setakat 31 Disember 2025.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seramai 314,537 anggota koperasi direkodkan di negeri ini, merangkumi 6,760 anggota daripada 87 koperasi kariah masjid berdaftar.
“Angka-angka ini membuktikan gerakan koperasi kariah masjid merupakan antara wadah pembangunan ekonomi ummah yang terus berkembang serta memberi manfaat signifikan kepada anggota dan masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Multaqa Wa Takrim Koperasi Kariah Masjid Negeri Pahang 2026 di sini hari ini.
Majlis julung kali diadakan itu dianjurkan bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pahang, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Timur dan ANGKASA Pahang sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan gerakan koperasi kariah masjid dalam memperkukuh pembangunan sosioekonomi ummah.
Pada majlis itu, tiga koperasi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Koperasi Kariah Masjid Terbaik Negeri Pahang 2026 iaitu Koperasi Kariah Masjid Al-Hikmah Rompin Berhad (tempat pertama), Koperasi Masjid Lama Permatang Badak Berhad (kedua) dan Koperasi Kariah Masjid Kampung Lubuk Kulit Lipis Berhad (ketiga).
Sebanyak 30 koperasi kariah masjid turut menerima cek cura Geran Program Pemerkasaan Koperasi Kariah Masjid Negeri Pahang berjumlah RM450,000 menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2026 pada majlis sama.
Sijil Bengkel Penyediaan Kanvas Model Perniagaan turut disampaikan kepada koperasi terlibat bagi meningkatkan daya saing dan pembangunan perniagaan.
Dalam pada itu Wan Rosdy berharap koperasi kariah masjid terus memperkukuh tadbir urus, meningkatkan integriti dan mengamalkan pengurusan profesional serta berani meneroka peluang perniagaan baharu yang sesuai dengan keperluan setempat.
“Pada masa kini masjid bukan lagi sekadar tempat untuk menunaikan ibadah dan beriktikaf semata-mata, malah fungsinya boleh dikembalikan kepada zaman keemasan Islam dahulu iaitu sebagai pusat kemasyarakatan,” katanya.
Menurut beliau, pengiktirafan yang diterima bukan sekadar penghormatan, sebaliknya amanah untuk terus meningkatkan prestasi dan kecemerlangan koperasi pada masa hadapan.
Beliau turut menyeru koperasi kariah masjid mempelbagaikan bidang perniagaan bernilai tinggi termasuk peruncitan, agromakanan dan perkhidmatan bagi meningkatkan pendapatan anggota serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. – KOSMO! ONLINE
The post 87 koperasi kariah masjid Pahang rekod aset RM5.4 juta appeared first on Kosmo Online.






