
KOTA KINABALU: Dasar mengutamakan guru kelahiran Sabah untuk kembali berkhidmat di negeri asal telah mencapai kadar pelaksanaan 89.72 peratus setakat 30 Jun lalu, manakala pengisian jawatan guru di Sabah kini berada pada tahap 97.45 peratus.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, kementerian turut mempercepat pengambilan guru menerusi pengambilan dua kali setahun dan permohonan terbuka bagi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, selain menempatkan guru baharu terlebih dahulu di sekolah pedalaman.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Phoong Jin Zhe di Dewan Negara.
Phoong menyifatkan usaha itu sebagai langkah positif, namun menegaskan pengisian kekosongan guru sahaja tidak mencukupi.
“Kita perlu memastikan sekolah mempunyai guru yang mencukupi bagi semua mata pelajaran, bukan sekadar memenuhi jumlah keseluruhan. Pelajar berhak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti secara menyeluruh, sama ada di Kota Kinabalu mahupun kawasan pedalaman,” katanya.
Menyentuh isu sekolah daif yang berlarutan, Phoong turut meminta kerajaan menetapkan garis masa yang jelas bagi mempercepat kerja pembaikan dan pembinaan semula sekolah.
Menjawab perkara itu, Wong berkata Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan keseluruhan RM6.6 bilion bagi projek pembinaan semula sekolah di Sabah sejak 2016, termasuk RM4.6 bilion di bawah pentadbiran Kerajaan Madani bagi tempoh 2023 hingga 2026.
Beliau berkata peruntukan penyelenggaraan sekolah turut meningkat secara konsisten, mencecah RM175.18 juta setakat 17 Julai tahun ini, iaitu yang tertinggi berbanding semua negeri.
Phoong berkata walaupun angka itu memberangsangkan, masih banyak sekolah di Sabah yang menunggu pelaksanaan projek atau berada dalam keadaan usang dan tidak selamat.
“Kita perlu bergerak lebih pantas. Setiap hari kelewatan bermakna anak-anak kita terus belajar dalam persekitaran yang tidak memenuhi piawaian asas,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Wong atas penjelasan yang diberikan serta perhatian berterusan terhadap keperluan pendidikan di Sabah, sambil menggesa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memperkukuh penyelarasan bagi mempercepat pelaksanaan projek pendidikan.
