
NABAWAN: Seramai 894 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa banjir April lepas menerima sumbangan wang tunai RM200 beserta bakul makanan daripada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).
Majlis disempurnakan Adun Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, di Dewan Kelab Belia dan Sukan pada Selasa. Bantuan tersebut diberikan kepada mangsa banjir yang tidak berpindah dan tidak berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) semasa banjir.
"Ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu mangsa banjir yang tidak berdaftar di PPS, tetapi turut terjejas dan mengalami kerosakan harta benda akibat banjir," katanya.
Ghani, yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS), menggesa jabatan dan agensi kerajaan mengambil langkah pencegahan banjir seperti pembersihan tebing sungai dan penyelenggaraan saliran.
Menurutnya, banjir besar beberapa bulan lalu mengejutkan semua pihak kerana kawasan itu tidak pernah dilanda banjir besar dalam 50 tahun.
Beberapa penerima sumbangan melahirkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan negeri, walaupun mereka tidak menerima bantuan daripada kerajaan persekutuan.
Hadir sama Pengarah YKS, Datuk Hajah Diyanah Abdullah, Penolong Pegawai Daerah Nabawan (Pembangunan) Alane Medin dan Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Flyantia Sungkang.
GHANI (kanan) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima.
