Wanita ditemukan mati dalam bilik hotel

23 May 2019 • 4:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

GEORGETOWN- Seorang wanita ditemui mati di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Sungai di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, mayat pegawai pemasaran itu ditemukan pekerja hotel berkenaan kira-kira jam 5 petang.

Menurutnya, mangsa, Shireen K Durai berusia 50 tahun ditemukan tidak sedarkan diri selain mengalami pendarahan pada hidungnya.

"Dari keterangan pengurus hotel, mangsa yang berasal dari Jalan Kebun Nyior itu telah tinggal di hotel tersebut sendirian sejak tujuh bulan lalu.

"Kali terakhir pekerja 'house keeping' masuk ke bilik mangsa adalah pada 20 Mei lalu. Pada ketika itu, mangsa masih dalam keadaan sedar," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, hasil pemeriksaan pada tubuh mangsa oleh pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang (HPP) tidak menemui sebarang kecederaan.

"Tiada kecederaan lain di tubuh badan mangsa kecuali ada pendarahan dari hidung mangsa. Siasatan pada bilik hotel itu juga mendapati tiada unsur jenayah. Turut ditemui pelbagai jenis ubat dipercayai milik mangsa.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan pagi tadi mendapati, punca kematian mangsa adalah disebabkan serangan jantung. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.