9,296 Mangsa Pelaburan Tidak Wujud, Rugi Lebih RM1.37 Bilion

LocalBusiness & Finance
4 Jan 2026 • 5:38 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Sebanyak 9,296 individu dilaporkan menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud bagi tempoh Januari hingga November tahun lalu, dengan jumlah kerugian mencecah lebih RM1.37 bilion.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman memaklumkan kumpulan umur 41 hingga 50 tahun mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,088 kes.

“Ini diikuti oleh kumpulan umur 51 hingga 60 tahun dengan 1,988 mangsa. Jumlah keseluruhan kerugian direkodkan adalah sebanyak RM1,373,305,426.77,” menurut kenyataan itu.

JSJK Bukit Aman menjelaskan, sindiket pelaburan tidak wujud kebiasaannya memperdaya mangsa dengan janji pulangan lumayan, sedangkan hakikatnya ia direka semata-mata untuk menipu dan mendapatkan wang tanpa sebarang aktiviti pelaburan yang sah.

“Antara taktik yang sering digunakan termasuk janji pulangan tinggi dalam tempoh singkat, dakwaan risiko rendah atau tiada risiko, tekanan untuk membuat keputusan segera, serta penggunaan nama syarikat yang tidak berdaftar atau tidak berlesen.

“Sindiket juga mengambil kesempatan terhadap kekurangan maklumat jelas mengenai pelaburan yang ditawarkan, selain menggunakan individu berpengaruh atau pempengaruh media sosial bagi meyakinkan orang ramai,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan melakukan semakan latar belakang secara menyeluruh terhadap syarikat atau individu terlibat sebelum membuat sebarang pelaburan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan. - Getaran, 4 Januari 2025