9 Negara Ini Paling Terkesan Jika Berlaku Gangguan Di Selat Hormuz

WorldBusiness & Finance
7 Mar 2026 • 7:18 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

9 Negara Ini Paling Terkesan Jika Berlaku Gangguan Di Selat Hormuz

Selat Hormuz yang merupakan laluan perdagangan penting bagi bekalan tenaga global kini berdepan risiko gangguan susulan perang Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel yang bermula sejak 28 Februari lalu.

Dianggarkan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia diangkut melalui laluan strategik tersebut setiap hari.

Justeru, sebarang ancaman atau sekatan di selat itu memberikan impak yang sangat besar terutama kepada negara-negara yang bergantung kepada bekalan tersebut.

Bagi yang belum tahu, kapal tangki yang membawa minyak dan gas dari Arab Saudi, Kuwait, Iraq, Qatar, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Iran akan melalui Selat Hormuz untuk dihantar ke Asia.

Meskipun kebanyakan negara mempunyai rizab minyak kecemasan yang boleh bertahan selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan, perang yang berpanjangan atau sekatan di selat itu masih menimbulkan ancaman yang serius.

image is not available
Kredit: AFP

Berikut sembilan negara yang berpotensi terkesan sekiranya berlaku gangguan di Selat Hormuz

1. China

China merupakan pengimport minyak mentah terbesar di dunia dan sangat bergantung kepada bekalan tenaga dari Timur Tengah.

Selain Iran, negara itu turut mengimport minyak dalam jumlah besar dari Arab Saudi, Iraq, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Penganalisis di Kpler, Go Katayama berkata China terdedah dari segi bekalan tenaga tetapi mempunyai fleksibiliti lebih tinggi.

Ketika ini, China mempunyai rizab minyak mentah yang mencukupi untuk bertahan kira-kira selama 115 hari.

China juga telah menggesa Iran agar memastikan Selat Hormuz terus dibuka, terutamanya untuk mengeksport bekalan tenaga dari Qatar.

Eksekutif kanan di syarikat gas milik China, Beijing telah menggesa rakan sejawatnya dari Iran untuk tidak menyasarkan kapal tangki minyak dan gas asli cecair yang melaluinya serta menahan diri daripada menyerang hab eksport utama seperti Qatar.

2. Jepun

Untuk pengetahuan, negara Timur Tengah membekalkan kira-kira 75 peratus daripada import minyak Jepun. Jadi, mereka sangat bergantung kepada perdagangan minyak itu.

Memetik The Mainichi, Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi berkata bahawa negaranya hanya mempunyai rizab minyak yang mencukupi untuk 254 hari akan datang.

Pun begitu, beliau juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan menjamin bekalan tenaga yang stabil di tengah-tengah gangguan di Selat Hormuz.

3. Korea Selatan

Sama seperti Jepun, Korea Selatan juga bergantung kepada tenaga dari negara-negara Teluk disebabkan oleh pengeluaran domestik yang terhad.

Korea Selatan memperoleh kira-kira 70 peratus minyak mentahnya dari rantau ini.

Negara itu pada masa ini hanya mempunyai rizab minyak yang mencukupi untuk penggunaan selama 219 hari.

Walaupun bekalan berterusan, kenaikan harga boleh memberi kesan negatif.

Jepun dan Korea Selatan telah membelanjakan lebih daripada 100 bilion dolar AS setiap tahun untuk mengimport tenaga.

Peningkatan kos akan memburukkan lagi imbangan perdagangan dan membebankan isi rumah.

4. Taiwan

Kebergantungan Taiwan terhadap tenaga yang diimport menimbulkan satu lagi kebimbangan global.

Negara tersebut mengimport lebih daripada 96 peratus tenaganya, dengan kebanyakan minyak dan gasnya tiba melalui Selat Hormuz.

Di tengah-tengah konflik di Timur Tengah, Taiwan hanya mempunyai kira-kira 120 hari rizab minyak, namun hanya kira-kira 11 hari bagi bekalan gas asli.

Gangguan yang berpanjangan berpotensi menjejaskan pengeluaran semikonduktor.

Hal ini kerana, kilang-kilang Taiwan menghasilkan kebanyakan cip canggih dunia yang digunakan dalam telefon pintar, kenderaan elektrik dan sistem kecerdasan buatan. Kemudahan tersebut bergantung kepada bekalan elektrik yang stabil.

5. Thailand

Seperti yang dilaporkan oleh Sunday Guardian, pakar-pakar memberi amaran bahawa Thailand akan menghadapi risiko yang ketara kerana negara itu bergantung kepada import minyak.

Import minyak bersih Thailand menyumbang 4.7 peratus daripada KDNK negara itu.

Penganalisis menganggarkan bahawa setiap kenaikan 10 peratus harga minyak boleh meluaskan defisit akaun semasa Thailand sebanyak kira-kira 0.5 mata peratus.

6. India

India merupakan antara pengimport tenaga terbesar di dunia dan banyak bergantung kepada bekalan minyak serta gas dari Timur Tengah.

Sebahagian besar LNG negara itu diimport dari Qatar, dengan harga kontrak yang sebahagiannya diindeks kepada harga minyak mentah.

Justeru, lonjakan harga minyak mentah akibat gangguan di Selat Hormuz berpotensi meningkatkan kos import minyak dan gas secara serentak.

Situasi ini boleh memberi tekanan tambahan kepada kos tenaga serta kewangan negara tersebut.

image is not available
Kredit: AFP

7. Indonesia

Menteri Tenaga dan Sumber Daya Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia mengatakan cadangan bahan bakar minyak nasional (BBM) masih mencukupi untuk hanya 20 hari.

Walaupun tempohnya agak singkat, beliau memberi jaminan bahawa keadaan ini tidak akan menimbulkan masalah kepada subsidi bahan api domestik.

Bahlil berkata terdapat kemungkinan pembetulan harga minyak dunia disebabkan oleh kesan konflik Timur Tengah.

Beliau berkata akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Tenaga Nasional Indonesia (DEN) untuk menjangka ketersediaan minyak ketika konflik tersebut.

8. Pakistan

Pakistan mengimport 99 peratus LNG daripada Qatar dan UAE. Dengan fleksibiliti penyimpanan dan perolehan yang terhad, Pakistan sangat terkesan jika Selat Hormuz ditutup.

Penganalisis berkata ia berkemungkinan akan mencetuskan kemusnahan permintaan sektor kuasa yang pantas.

9. Bangladesh

Sama seperti Pakistan, penyimpanan dan perolehan LNG Bangladesh sangat terhad.

Negara itu mengimport 72 peratus LNG daripada Qatar dan UAE.

Jika sekatan di Selat Hormuz berterusan, Bangladesh perlu mencari cara untuk memastikan bekalan LNG terus dapat dinikmati.

Negara itu mengalami defisit gas struktur yang ketara. Menurut Institut Ekonomi Tenaga dan Analisis Kewangan, Bangladesh mengalami kekurangan lebih daripada 1,300 juta kaki padu sehari.

Tentunya, impak gangguan di Selat Hormuz bukan sahaja tertakluk kepada negara pengimport tetapi juga kepada negara-negara Teluk seperti Arab Saudi, yang ekonominya banyak bergantung pada eksport tenaga.

Tuntasnya, penganalisis berkata semakin lama ancaman wujud di selat itu, semakin tinggi harga minyak dan juga kos penghantarannya.

Sementara itu, kenyataan terbaru dari Iran berkata bahawa mereka tidak menutup Selat Hormuz.

Bagaimanapun, penurunan mendadak trafik perkapalan melalui selat itu berpunca daripada keengganan syarikat insurans untuk menginsuranskan kapal yang menuju ke kawasan berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Luar Iran, Saeed Khatibzadeh pada Jumaat.