9 Negeri, 1 Wilayah Dijangka Alami Hujan Lebat

LocalEnvironment
19 Oct 2024 • 2:38 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

9 Negeri, 1 Wilayah Dijangka Alami Hujan Lebat

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan 9 negeri bakal dilanda ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga 5 petang ini.

Menerusi ramalan cuaca yang dimuat naik di Facebook, MetMalaysia menjangkakan hujan lebat dan angin kencang bakal landa seluruh negeri Pahang, Johor dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Di Perak, jangkaan hujan lebat hanya melibatkan daerah Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim. Manakala di Selangor, hanya daerah Hulu Selangor bakal hadapi cuaca yang sama.

Melihat cuaca di pantai timur, hujan lebat dijangka landa daerah Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan. Di Terengganu, daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman dijangka alami hujan lebat dan ribut petir.

Terus ke selatan, hujan lebat dijangka berlaku di daerah Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin, Negeri Sembilan.

Di Sabah, amaran cuaca buruk dikeluarkan bagi beberapa daerah iaitu Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau dan Kudat. Manakala di Sarawak, hujan lebat dijangka hanya berlaku di daerah Limbang.

image is not available
Kredit: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” kata MetMalaysia.

Berikutan amaran yang dikeluarkan, orang ramai dinasihatkan menjauhi kawasan berisiko dan mengambil langkah berjaga-jaga di daerah yang berkaitan.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Tenaga (ST) mengingatkan orang awam untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan peralatan elektrik dan gas berikutan kejadian banjir.

“Sekiranya diarah berpindah, orang ramai perlu memastikan kelengkapan elektrik disimpan di tempat yang tinggi dan selamat daripada ditenggelami air banjir serta matikan suis bekalan utama di papan agihan elektrik.

“Pepasangan elektrik yang disambung secara berasingan perlu dimatikan daripada suis utama seperti solar PV atau pagar elektrik dan tutup injap silinder gas atau gas berpaip,” menurut kenyataan tersebut.