9 termasuk 4 isteri Ahli Lembaga Pengarah GISBH dilanjutkan reman

LocalPolitics
4 Oct 2024 • 11:53 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sembilan individu yang dikaitkan dengan GISBH dilanjut reman di Mahkamah Majistret Shah Alam, pada Jumaat.

image is not available
Tujuh wanita termasuk empat isteri Ahli Lembaga Pengarah GISBH direman sehari pada Jumaat.

SHAH ALAM - Sembilan individu termasuk tujuh wanita berkait GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dilanjutkan reman pada Jumaat.

Perintah lanjutan reman kesemua individu berusia 18 hingga 55 tahun itu dikeluarkan Majistret M Mageshwary selepas permohonan dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Tujuh wanita termasuk empat isteri kepada Ahli Lembaga Pengarah GISBH disambung reman sehari manakala dua lelaki direman dua hari selepas reman tujuh hari kesemua mereka bermula 28 September lalu tamat.

Kesemua mereka diwakili peguam Boestamam Ahmad, Dorina Abdullah dan Najib Zakaria.

Boestamam berkata, kesemua individu terbabit sebelum ini ditahan polis di sekitar Rawang pada 27 September lalu.

"Mahkamah hari ini (Jumaat) membenarkan lanjutan reman selama satu hari terhadap tujuh wanita, manakala dua hari terhadap dua lelaki untuk siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

"Wanita ini dijangka dibebaskan dengan jaminan polis pada petang ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat.

Sebelum itu, kesemua suspek terbabit tiba kira-kira jam 10.15 pagi dengan kawalan anggota dan pegawai polis.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan polis akan membuat permohonan sambung reman terhadap 24 ahli tertinggi GISBH termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu susulan tempoh reman mereka tamat pada Jumaat.

Razarudin turut memaklumkan polis telah membekukan keseluruhan 206 akaun berkait GISBH bernilai lebih RM1.35 juta membabitkan 205 akaun bank bernilai RM1.35 juta serta satu akaun bank bernilai USD1,344.26 (RM5,688.80).