
TAWAU: Sembilan warga Indonesia masing-masing dipenjara lima bulan pada Khamis kerana tinggal lebih masa dan masuk ke negara ini tanpa dokumen.
Tujuh daripadanya iaitu Asniar M. Amir, Emei Budi, Syafira Aini Jupri, Ekawati Mansur, Nurraysyah Abdullah, Nurul Adriana Nasir, dan Miklen Jason Matius, berumur antara 21 dan 25 tahun masing-masing dipenjara lima bulan.
Miklen juga dikenakan dua sebatan rotan kerana tidak mempunyai dokumen.
Manakala Chandra Mohammad Amin, 32 dan Irfan Fajar, 24, masing-masing dipenjara tiga bulan dan empat bulan serta dua sebatan rotan kerana tinggal lebih masa.
Chandra didapati tinggal lebih masa selama dua tahun, lima bulan dan sembilan hari, manakala Irfan tinggal lebih masa di negara ini selama enam tahun, empat bulan dan 18 hari.
Kesemua tertuduh mengaku salah di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Semua mereka ditangkap di dua pusat hiburan semasa serbuan Ops Gegar di sini sekitar jam 1 pagi pada 18 Mac.
Tujuh tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dua lagi tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15 (1)(c) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (4) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Tawau, Halimatu Saadiah Amat, tampil mendakwa.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
