sarah23/11/2026 - 12:18 Gambar hiasan Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Nov - Sebanyak 91% profesional di Malaysia berkemungkinan meminta kenaikan gaji melebihi 10% apabila bertukar pekerjaan pada 2027, namun hanya 40% majikan menjangkakan dapat memenuhi kenaikan tersebut, sekali gus memperlihatkan jurang besar antara jangkaan pekerja dengan tawaran syarikat.
Menurut Tinjauan Gaji Robert Walters 2027, jurang 51 mata peratusan itu dijangka meningkatkan cabaran majikan untuk menarik pekerja baharu dan mengekalkan kakitangan sedia ada ketika syarikat semakin berhati-hati dalam pengambilan pekerja.
Tinjauan itu mendapati 39% profesional yang sedang bekerja aktif mencari peluang baharu, manakala 26% lagi merancang berbuat demikian dalam tempoh tiga hingga 12 bulan akan datang.
Pada masa sama, sebanyak 70% profesional yakin atau optimis terhadap peluang pekerjaan dalam bidang masing-masing, menunjukkan pekerja masih bersedia meneroka peluang kerjaya lebih baik.
Hanya 40% syarikat rancang tambah pekerja
Robert Walters berkata, hanya 40% syarikat yang ditinjau merancang menambah tenaga kerja pada 2027, dengan majikan semakin mengutamakan kemahiran calon dan sumbangan mereka terhadap prestasi perniagaan.
Pengurus Negara Robert Walters Malaysia, Gan Hua Choon berkata, majikan kini lebih berhati-hati dalam menentukan keperluan tenaga kerja serta pulangan daripada pelaburan dalam pengambilan pekerja.
"Majikan semakin berhati-hati tentang tempat mereka melabur dalam bakat, keupayaan yang mereka perlukan serta impak perniagaan yang mesti disampaikan oleh keupayaan tersebut," katanya dalam kenyataan.
Permintaan pekerja mahir teknologi terus meningkat
Tinjauan itu turut mendapati persaingan mendapatkan pekerja mahir kekal tinggi dalam sektor teknologi, kejuruteraan dan pembuatan termaju, didorong pelaburan pusat data serta semikonduktor yang meningkatkan permintaan terhadap kepakaran kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan analisis data.
Sebanyak 55% majikan mengutamakan kemahiran praktikal yang berkaitan dengan pekerjaan, manakala 46% profesional telah mengikuti, sedang mengikuti atau merancang mendapatkan kelayakan tambahan bagi meningkatkan kemahiran mereka.
Gaji bukan satu-satunya faktor kekalkan pekerja
Hua Choon berkata, selain gaji, jaminan pekerjaan, kestabilan organisasi, aturan kerja fleksibel dan keseimbangan kehidupan turut mempengaruhi keputusan pekerja untuk kekal atau bertukar majikan.
Beliau berkata, syarikat perlu menawarkan gaji dan faedah yang berdaya saing, peluang perkembangan kerjaya serta latihan kemahiran bagi menarik dan mengekalkan pekerja berkebolehan.
Robert Walters ialah firma antarabangsa yang menyediakan perkhidmatan pengambilan pekerja dan khidmat nasihat tenaga kerja. Tinjauan terbaharunya melibatkan lebih 700 profesional dan 800 organisasi di Malaysia antara September hingga Oktober 2026.- DagangNews.com




